SEOUL – Pelancaran ketujuh peluru berpandu Korea Utara baru-baru ini merupakan ‘latihan taktikal nuklear’ yang diselaraskan sendiri oleh pemimpin tertinggi, Kim Jong-un, lapor media pemerintah, KCNA semalam.
Semasa kongres Parti Pekerja Korea pada Januari 2021, Jong-un menggariskan pelan pembangunan pertahanan lima tahun dan mengerahkan pembangunan senjata nuklear yang lebih kecil dan lebih ringan untuk ‘kegunaan taktikal’.
Seoul, Tokyo dan Washington meningkatkan latihan tentera laut bersama sejak beberapa minggu lalu sekali gus mencetuskan kemarahan Pyongyang yang menganggapnya sebagai ‘raptai’ untuk menakluki Korea Utara. Pyongyang melancarkan sejumlah peluru berpandu sebagai tindak balas yang wajar.
KCNA menyatakan, siri ujian peluru berpandu baru-baru ini merupakan tindak balas terhadap latihan tentera bersama tersebut sambil menambah, latihan balas tersebut ‘merupakan simulasi perang sebenar’.
Unit tentera Korea Utara yang terlibat dalam operasi nuklear taktikal, mengadakan latihan tentera dari 25 September hingga 9 Oktober lalu sebagai langkah untuk memeriksa keupayaan serangan balas nuklear Pyongyang sekali gus amaran keras kepada pihak musuh, demikian menurut laporan KCNA.
“Latihan tentera itu diselaraskan oleh Kim Jong-un yang merupakan Setiausaha Agung Parti Pekerja Korea dan Pengerusi Suruhan Jaya Tentera Pusat,” tambah KCNA.
Ketika rundingan antara Korea Utara dan Barat tergendala, Pyongyang meningkatkan ujian senjatanya dengan melancarkan peluru berpandu balistik jarak sederhana melintasi Jepun pada minggu lalu, manakala beberapa pegawai dan penganalisis memberi amaran bahawa Rejim Jong-un telah melengkapkan persediaan untuk satu lagi ujian nuklear.
Ujian misil ketujuh baru-baru ini membolehkan pasukan nuklear Korea Utara mempamerkan keberkesanan dan keupayaan perang sebenar senjata pemusnah besar-besaran Pyongyang. – AFP