JAKARTA – Gara-gara asyik menyanyi bersama beberapa wanita, seorang lelaki mengalami detik memalukan apabila dia ditampar isterinya yang mengamuk di atas pentas dalam satu majlis keramaian, lapor laman berita Berita Hits semalam.
Berdasarkan sebuah video yang tular di media sosial, seorang lelaki berkemeja dirakam berdiri di atas pentas sambil memegang mikrofon.
Lelaki separuh usia itu sedang asyik menyanyi bersama beberapa wanita di atas pentas majlis tersebut.
Secara tiba-tiba, muncul seorang wanita bertudung hitam yang terus naik ke atas pentas lantas menarik baju lelaki berkenaan.
Dia kemudian menampar pipi lelaki dipercayai suaminya itu sehingga membuatkan lelaki tersebut hampir terjatuh.
Kekecohan itu disusuli dengan peringatan daripada salah seorang penyanyi wanita agar isteri kepada lelaki berkenaan dan suaminya turun dari pentas.
“Sila hentikan (kekecohan). Mohon maaf encik dan puan, sila turun dari pentas,” kata salah seorang penyanyi.
Video tersebut menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Seminggu pak cik tidur di luar rumah atau tidak lama lagi berpisah lah tu (bercerai),” kata seorang netizen.
“Si isteri cuba menyedarkan si suami. Teruskan puan, suaminya perlu diikat. Entah jin apa yang merasukinya sampai terlupa umur,” kata seorang lagi pengguna. – Agensi