ABUJA, NIGERIA – Seramai 76 orang terkorban selepas sebuah bot terbalik di sebatang sungai yang melimpah di negeri Anambra, kata Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari kelmarin.
Dianggarkan seramai 85 penumpang serta kru berada di atas bot yang membawa muatan berlebihan itu pada Jumaat lalu apabila banjir di Sungai Niger melimpah dan mengakibatkan bot tersebut terbalik.
“Bot dilaporkan membawa 85 orang itu terbalik akibat air banjir yang melimpah di kawasan Ogbaru dalam negeri Anambra. Perkhidmatan kecemasan mengesahkan kematian sebanyak 76 mangsa,” kata Muhammadu Buhari.
Beliau turut mengarahkan perkhidmatan kecemasan untuk menyediakan bantuan kepada mangsa-mangsa lain yang terlibat.
“Saya mendoakan kesejahteraan untuk roh semua mangsa yang terkorban dan untuk keselamatan setiap orang serta ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan tragis ini,” tambahnya.
Awal kelmarin, perkhidmatan kecemasan Nigeria berkata, peningkatan paras air telah menyukarkan usaha menyelamat.
“Paras air amat tinggi dan sangat berisiko kepada kelancaran operasi mencari dan menyelamat,” kata penyelaras bahagian tenggara bagi Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMA), Thickman Tanimu.
Menurut Tanimu, banjir itu adalah yang paling buruk pernah dialami oleh Nigeria sejak bertahun-tahun dengan paras air sekitar satu persepuluh lebih tinggi berbanding sedekad lalu.
NEMA juga meminta Tentera Udara Nigeria agar menyediakan beberapa helikopter bagi tujuan operasi menyelamat.
Dalam pada itu, Gabenor Negeri Anambra, Charles Soludo menggesa penduduk di kawasan yang terjejas banjir supaya berpindah. Menurutnya, kerajaan akan menyediakan bantuan kepada mereka yang terjejas dalam bencana alam tersebut.
Kemalangan melibatkan bot kerap berlaku di Nigeria disebabkan muatan berlebihan, bot dipandu laju atau kelemahan dalam penyelenggaraan serta pengabaian peraturan navigasi. – AFP