fbpx

UMNO Selangor selesai terima senarai nama calon PRU-15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noh (tengah) bersama ahli Wanita UMNO Tanjong Karang pada mesyuarat perwakilan petang tadi.

KUALA SELANGOR – UMNO Selangor sudah menerima keseluruhan senarai nama calon 22 bahagian parti itu yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Perhubungannya, Tan Sri Noh Omar berkata, senarai itu rata-ratanya melibatkan lima calon bagi setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Semua senarai nama berkenaan selesai dan kita sudah menerimanya baru-baru ini.

“UMNO negeri akan menyerahkannya kepada pucuk pimpinan tertinggi parti dalam tempoh terdekat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang di Institut Pengurusan Peladang (IPP), Tanjong Karang di sini, petang tadi.

Minggu lalu, Pengerusi Perhubungan UMNO negeri diminta memberi senarai nama kepada ‘Top 5’ bagi penentuan calon sehingga esok.

Perkara itu antara amanat perjumpaan khas bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melibatkan semua 191 bahagian termasuk sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

Jelas Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang, senarai itu antaranya melibatkan enam calon termasuk penyandang kerusi.

“Kita kini hanya menunggu keputusan penuh pimpinan parti dalam menentukannya.

“Sama ada bergerak secara solo atau sebaliknya, kita sentiasa akur dengan arahan itu kelak,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan melancarkan jentera di peringkat bahagian dan cawangan dalam tempoh terdekat.

“Kita sentiasa bersedia sepenuhnya menghadapi pilihan raya seolah-olah berlaku pada hari esok,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI