fbpx

Muhammad ‘Adziem ke pertandingan pastri berprestij dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gubahan dan persembahan makanan yang mendapat sentuhan Muhammad ‘Adziem.

BENAR kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu.

Itu yang dialami oleh Muhammad ‘Adziem Wazi yang dipilih untuk menyertai pertandingan berprestij bertaraf dunia dalam bidang pastri.

Menurut pelajar semester tiga, Diploma Seni Kulinari di Politeknik Merlimau, Melaka itu, dia akan bertanding di Worldskills Competition (WSC) 2022 Special Edition bagi bidang Patisserie dan Confectionary pada 7 hingga 17 Oktober ini di Lucerne, Switzerland.

“Kejayaan mewakili negara itu selepas beberapa kejayaan yang saya kecapi menerusi banyak pertandingan yang dianjurkan pada 2019,” katanya.

Anak kelahiran Baling, Kedah itu berkata, dia tidak pernah menyangka dapat mewakili negara.

Ini kerana ujarnya, sebelum ini tidak pernah berminat untuk berkecimpung dalam dunia kulinari.

“Ahli keluarga juga tiada yang terlibat dalam bidang ini.

“Sebaik menamatkan pengajian di Kolej Komuniti Baling peringkat sijil dalam jurusan Pastri, saya ditawarkan untuk menyambung pengajian di peringkat diploma di Politeknik Melimau.

“Bertitik tolak dari situlah, minat untuk mendalami jurusan ini mula bercambah,” kongsinya.

Norizam (tiga dari kiri) bersama pengurusan Politeknik Merlimau meraikan kejayaan Muhammad ‘Adziem (empat dari kiri).

Pada pertandingan itu nanti, Muhammad ‘Adziem merupakan salah seorang individu yang akan mewakili negara.

Bercerita lanjut katanya, pada 2019, dia menyertai pertandingan prakelayakan dan melalui beberapa saringan di peringkat kebangsaan.

Menang pertandingan itu, selain rekod dipegangnya sebelum ini, melayakkan Muhammad ‘Adziem dipilih sebagai salah seorang peserta yang akan mewakili negara ke Switzerland.

Antara pencapaian anak muda ini sebelum ini adalah menang pada pertandingan MyCCskills Inovasi dan Rekacipta Pelajar Tahun 2018, finalis WorldSkills Malaysia Belia 2019 bidang pastri dengan memperoleh pingat perak, pembantu Training WorldSkills Kazan 2019 serta peringkat kelayakan WSC Shanghai 2021 pada November 2021.

Katanya, penglibatannya pada pertandingan itu dilihat sebagai batu loncatan bukan sahaja untuk mengharumkan nama negara, bahkan negeri Melaka secara amnya.

“Sekarang, saya giat berlatih dengan tunjuk ajar daripada para pensyarah dan Chef Rafizi Ramli dari Kolej Komuniti Baling Kedah.

“Nampak bidang ini mudah, terutamanya pada pandangan segelintir pihak, namun cabarannya tetap ada,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Politeknik Merlimau, Norizam Sekak berkata, ini merupakan kejayaan besar buat institusi itu kerana dapat melahirkan pelajar yang mewakili negara dalam bidang pastri.

“Alhamdulillah, saya melihat Muhammad ‘Adziem bukan sahaja berbakat dan berkemahiran, tetapi turut mempunyai personaliti menarik dalam memastikan beliau berjaya dalam bidang ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI