Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan menyangkal dakwaan bahawa pencemaran Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi berpunca daripada aktiviti pembersihan ladang angsa di Sungai Pajam, Nilai.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya kesal dengan dengan dakwaan sesetengah pihak tersebut dan beliau menganggap dakwaan itu tidak adil kepada pengusaha ladang angsa tersebut.
“Ya, betul ia beroperasi secara tidak sah tetapi kita tidak menyalahkan dia kerana banyak punca lain. Punca utama telah dikenal pasti dan kita ambil maklum kita juga minta Jabatan Veterinar menyiasat secara mendalam berkaitan ladang tersebut.
“Kerajaan negeri agak sedikit kesal apabila dimaklumkan pencemaran tersebut yang berlaku di sungai disebabkan ladang itik dan angsa terbabit. Ada pihak yang menyalahkan pengusaha tersebut kerana dakwaaan tersebut agak berlebihan, ini tidak sepatutnya berlaku dan ia tidak adil kepada pengusaha tersebut, kita tidak seharusnya terus menyalahkan pengusaha tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, di sini hari ini.
Aminuddin menambah, beliau juga memohon agar pihak yang mendakwa ladang tersebut sebagai punca pencemaran agar memperbetulkan dakwaan tersebut.
“Dakwaan yang berlebihan dan mana-mana pihak tidak boleh menyalahkan pihak ladang angsa tersebut kerana kes ini masih dalam siasatan. Diharap perkara ini tidak perlu ditimbulkan sehingga memberi tekanan kepada pengusaha,” katanya.
Hari ini, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner, Che Zakaria Othman berkata, dua lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kes pencemaran di Sungai Batang Benar yang telah menyebabkan gangguan bekalan air di Selangor direman tujuh hari bermula hari ini.
Kedua-dua suspek ditahan di Kota Bharu, Kelantan pada pukul 12.45 tengah hari semalam.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri telah mendapat maklumat berkaitan pembuangan sisa daripada pemberi maklumat.
“Pihak kerajaan negeri telah mendapat maklumat daripada seorang pemberi maklumat dan dia mendapat ganjaran kerana memberi maklumat berkaitan pencemaran tersebut. Ada juga pemberi maklumat turut memaklumkan beberapa kawasan lain yang berlaku pencemaran seperti itu.
“Selain itu, kita berharap semua pihak yang menggunakan saluran sungai dan longkang sebagai lokasi pembuangan sisa supaya berhati-hati kerana mereka sedang diawasi,” katanya. – K! ONLINE