fbpx

Golongan belia perlu berada di barisan hadapan – Sultan Nazrin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Nazrin (kanan) menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima di Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Dewan Banquet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa golongan belia perlu diberikan kepercayaan untuk berada di barisan hadapan dalam usaha meremajakan gerakan pembangunan ummah.

Titah baginda, tamadun Islam yang dibangunkan oleh Rasulullah perlu diperkasa sebagai bukti kecintaan umat Islam kepada Nabi Muhammad.

Justeru, baginda bertitah, legasi yang diwarisi daripada Nabi Muhammad wajib disegarkan melalui pendekatan meremajakan gerakan pembangunan ummah dengan melibatkan penyertaan aktif lebih ramai belia.

“Golongan belia perlu diberikan kepercayaan berada di barisan hadapan, menyuntik dinamisme baharu, berperanan secara ketara sebagai pemangkin pembaharuan.

“Golongan remaja wajib didampingi, suara golongan remaja wajib didengari, pandangan golongan remaja wajib difahami, kehadiran golongan remaja wajib diiktiraf, agar dapat dilaksanakan program pembangunan ummah yang lebih kontemporari dan relevan dengan keperluan dan cabaran semasa,” titahnya di sini hari ini.

Baginda menyampaikan titah tersebut pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1444 Hijrah Peringkat Negeri Perak di Dewan Banquet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Sultan Nazrin bertitah, gerakan pembangunan ummah perlu dihembus nafas baharu dengan nilai-nilai kontemporari melalui usaha yang lebih segar, lebih berstrategi, penuh berwawasan, seiring dengan arus perubahan dan kemajuan yang kian pesat berlaku.

“Islam tidak menolak pembaharuan selagi tidak bercanggah dengan al-Quran dan As-Sunnah. Islam tidak menafikan pentingnya dilakukan transformasi yang membawa manfaat kepada ummah.

“Keadaan dan zaman yang terus berubah, sudah pasti mengehendaki cara dan pendekatan baharu yang bersesuaian dengan maslahat semasa,” titahnya.

Pada masa sama, titah Sultan Nazrin, dunia hari ini berada dalam ledakan teknologi yang semakin berkembang dan berdaya saing.

“Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) semakin membawa perubahan terhadap tata cara dunia beroperasi melalui kemunculan teknologi baharu seperti automasi, robotik, kecerdasan buatan (AI), mesin ke mesin dan internet benda (IoT).

“Perkembangan yang sedang berlaku seharusnya membawa kita ke arah pemikiran lebih terbuka memandang ke hadapan. Kita tidak seharusnya terus membiarkan diri terbelenggu dalam kejahilan yang disengajakan.

“Kita juga tidak seharusnya berkompromi membenarkan eksploitasi disuburkan hingga membudayakan ketidakadilan dan perlakuan tidak bermoral untuk dipusakai menjadi tradisi,” titahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI