PETALING JAYA – Selepas menyanyi, berlakon dan mengacara, selebriti versatil Elly Mazlein menggalas tanggungjawab sebagai penyampai radio Era FM bermula minggu hadapan.
Perkara tersebut diumumkan menerusi Instagram rasmi stesen radio tersebut semalam.
“Welcome on board (selamat datang) Kak Lina Pom Pom. Secara rasminya hari ini (semalam) Kak Lina Pom Pom dah jadi family (keluarga) Era FM.
“Bermula minggu hadapan, Kak Lina Pom Pom akan mengendalikan #CartaERA40! Habis semua job (kerja) orang dia nak caras!” tulis Era FM pada hantaran tersebut.
Pada masa sama, Elly yang juga hos program hiburan popular Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) bersama Nabil Ahmad turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan.
“Alhamdulillah syukur, saya tidak hebat mana. Saya cuba jalankan tugas yang diamanahkan sebaik mungkin.
“Saya tak pandai nak bermadah apatah lagi nak bagi tip, cuma yang saya pandai adalah menjadi pencuri hati korang semualah dik,” katanya.
Elly akan bertugas pada setiap hari Sabtu bermula pukul 3 petang hingga 7 malam.
Menjengah ruangan komen, rata-rata peminat mengucapkan tahniah atas rezeki dan tanggungjawab baharu yang bakal digalas idola mereka itu.
“Padulah Kak Lina! Jadi deejay pula lepas ni. Memang pecahlah konti itu nanti.
“Lepas ini terus nak dengar Era FM sebab ada Kak Lina Pom Pom. Tahniah kak!” tulis netizen.
Terdahulu, Elly yang popular menerusi lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan membuat kemunculan sebagai hos GV9 menggantikan Jihan Muse yang sedang berpantang selepas melahirkan anak kedua baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE