KUALA NERUS – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru rakyat negara ini khususnya umat Islam sentiasa berlapang dada dalam menghadapi sebarang kesulitan dan kesempitan hidup pada masa kini.
Baginda bertitah, kecekalan dan keteguhan hati Nabi Muhammad dan sahabat baginda dalam menghadapi ujian baik senang mahu pun susah harus diteladani.
“Anggaplah apa yang menimpa dan berlaku sebagai ujian daripada Allah dan menjadi kewajipan kepada kita supaya terus berusaha dan meningkatkan azam di samping bersyukur atas nikmat rezeki yang dikurniakan.
“Beta percaya dan yakin rakyat jelata dalam kalangan umat Islam di negeri ini akan menjadikan sambutan Maulidur Rasul sebagai penyuntik semangat untuk terus berusaha dengan lebih kuat bagi mencapai kejayaan hidup berpandukan kepada risalah ajaran dibawa Rasulullah,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian sewaktu merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus hari ini.
Sultan Mizan juga menzahirkan harapan agar rakyat terus hidup secara harmoni tanla mengira kaum dan agama bagi membentuk negara makmur dari segi ekonomi dan pendidikan.
Titah baginda, keharmonian masyarakat bermula daripada institusi keluarga yang tenang dan diajar tentang kepentingan hidup bersama. – KOSMO! ONLINE