PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia(MetMalaysia) pada pagi ini mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan 12 negeri.
MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, amaran itu dikeluarkan susulan hujan lebat serta angin kencang yang dijangka melanda seluruh Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Melaka sehingga pukul 12 tengah hari nanti.
Amaran sama turut diberikan di beberapa daerah di negeri Kedah, Perak, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di negeri Kedah melibatkan daerah Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.
“Sementara di Perak pula, keadaan sama boleh berlaku di Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, amaran sama turut diberikan di Terengganu melibatkan daerah Besut dan Setiu.
“Di Pahang pula, hujan lebat serta angin kencang diramalkan akan melanda Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Bentong.
“Amaran ribut petir turut dikeluarkan bagi Negeri Sembilan melibatkan daerah Jelebu, Seremban, Port Dickson dan Rembau,” jelasnya.
Selain itu katanya, amaran turut dikenakan di Johor melibatkan daerah Pontian, Kulai dan Johor Bahru.
“Amaran ribut petir turut dikeluarkan bagi negeri Sarawak melibatkan kawasan Mukah, Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan sebanyak 104 buah rumah di Tanah Rancangan Felda Chiku 2, Gua Musang, Kelantan terjejas dalam kejadian banjir kilat susulan hujan lebat yang berlaku dalam tempoh setengah jam semalam. – KOSMO! ONLINE