Setiap pengunjung yang melangkah masuk ke Anggun Chef Cafe (Anggun Chef) pasti terpesona melihat susun atur ruang makan elegan dengan dinding dihiasi bunga-bunga berwarna merah jambu.
Ruang makan lengkap dengan pendingin hawa itu pastinya menghadirkan rasa selepas kepada pelanggan untuk menjamu selera atau bersantai sambil minum kopi.
Terletak di tingkat G, Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Jalan Dutamas 2, Kuala Lumpur, restoran tersebut baharu dibuka secara rasmi pada awal bulan ini.
Pengasas dan Pengarah Urusan Anggun Dinamik Holding Sdn. Bhd., Mimie Azura Mohamad berkata, restoran tersebut mengetengahkan konsep elegance in flavour (keanggunan dalam rasa).
“Tema ini menggambarkan keanggunan restoran dalam aspek penyediaan, kualiti, visual, rasa makanan dan gaya hidup,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
Mimie Azura memaklumkan, restoran yang mampu memuatkan seramai 50 orang pada satu-satu masa itu menawarkan hidangan fusion iaitu gabungan makanan dari Barat dan Asia.
Terangnya, dia memilih hidangan fusion kerana mendapati ia semakin popular dan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
“Terdapat lebih 15 sajian boleh dipilih oleh pelanggan termasuk makanan tradisi tempatan yang mewakili sajian Asia.
“Antaranya sajian berkenaan adalah anggun asam pedas, mi kari Nyonya, Canton Yi bihun, dan nasi lemak anggun rendang kacang mentega,” terangnya.
Anggun Chef turut menyajikan sajian Barat, antaranya steak de saummon, lobster thermidor, anatra rissoto, prawan aglio olio, carbonara pasta, marinara, margherita dan piza.
Mengulas mengenai sajian signatur, nasi lemak anggun rendang kacang mentega, Mimie Azura berkata, ia adalah resepi miliknya sendiri.
Katanya, sebagai seorang yang suka masak, dia sentiasa berusaha mencari kelainan dalam masakan mengikut cita rasanya sendiri.
“Ketika bekerja dalam syarikat teknologi, saya sering memasak kepada kawan-kawan di pejabat. Saya selalu mengubah sajian mengikut cita rasa saya.
“Rendang kacang mentega ini dihasilkan menggunakan lebih banyak bawang dan mentega kacang. Rasanya cukup unik dan tidak terlalu pedas,” katanya.
Tegasnya, semua sajian di restoran berkenaan dimasak menggunakan ramuan berkualiti tanpa sebarang perasa tambahan dengan
Restoran berkenaan turut menyajikan beberapa pilihan pencuci mulut seperti tiramisu, min’s seri muka, creme brule, kek molten lava, anggun belgian waffle.
Bagi penggemar kopi, restoran tersebut pastinya akan membuatkan anda jatuh cinta menerusi aneka minuman berkenaan seperti espresso, americano, latte, mocha dan capuccino.
“Kami menggunakan biji kopi premium yang diimport khas dari Perancis. Kami juga menyediakan minuman lain seperti aneka teh, mocktail, jus dan smoties, milk shake dan frappes,” ujarnya.