fbpx

Tiada rajuk, memendam rasa – Hazrul Nizam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAZRUL NIZAM

“KAULAH segalanya, yang menyinari hidupku kasih, hanya satunya yang kucintai.”

Tidak dinafikan, mungkin ramai dalam kalangan peminat muzik pernah dan amat mengenali bait-bait lirik lagu berjudul Kaulah Segalanya itu.

Namun, hanya selepas Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) barulah penyanyi asal lagu yang sudah 20 tahun diluncurkan mula dikenali ramai.

Akur dengan situasi tersebut, Hazrul Nizam mengakui langsung tidak pernah terkilan apatah lagi kecewa dengan berlaku dalam karier nyanyiannya.

“Bila lepas masuk GV9 ini barulah orang kenal siapa penyanyi lagu itu yang sebenar.

“Tiada pun istilah nak kecewa ke atau merajuk sebab silap saya sendiri kerana kurang mempromosikan lagu tersebut semasa awal-awal dahulu,” katanya.

Kata Hazrul, selepas dirakam pada 2002, lagu Kaulah Segalanya perlahan-lahan diputarkan di beberapa stesen radio tempatan di Malaysia.

Namun, kerjaya tetap dalam bidang hartanah pada ketika itu membuatkan penyanyi kelahiran Singapura menyepikan diri daripada dunia hiburan.

“Kalau ikutkan, sebaik sahaja lagu itu keluar dan mula sampai ke Malaysia, saya kena lebih agresif untuk promosi, tetapi lain yang jadi.

“Entah bagaimana, ketika itu saya agak kurang aktif dalam kerja promosi.

“Bukan kata tak teruja dengan sambutan memberangsangkan, cuma entahlah. Saya pula memang tiada pengurusan masa itu,” katanya.

Hazrul atau nama sebenarnya Mohammad Hazrulnizam Taib bagaimanapun berterima kasih atas segala sokongan semua apabila lagu cari makannya itu membawa nama sehingga ke pentas GV.

Diaju tentang penglibatannya dalam GV, Hazrul yang bergelar ejen hartanah profesional memberitahu, dia menyahut tawaran kali ini disebabkan jadual kerja yang bersesuaian.

“Saya pernah ditawarkan untuk GV musim sebelum ini tetapi tidak dapat turut serta kerana jadual kerja yang padat.

“Jadi untuk GV kali ini, saya berbesar hati terima tawaran. Menang kalah itu bukan tujuan nombor satu, cukuplah pentas besar ini boleh naikkan semula nama saya yang tenggelam timbul,” ujarnya.

Mengulas sedikit mengenai penjurian minggu kedua dan ketiga yang begitu memberangsangkan dan meletakkan dirinya dalam kedudukan tiga teratas, penyanyi berusia 42 tahun itu bersyukur dan menyifatkan semua yang diraih setakat ini sebagai sumber semangat untuk terus melakukan yang terbaik.

“Minggu pertama saya berada di kedudukan terakhir. Saya akui silap kerana masa itu memang sangat berdebar dan gementar.

“Jadi saya cuci gementar itu dan buang jauh-jauh dengan buat yang sehabis baik pada minggu berikutnya,” katanya.

Ujar Hazrul lagi, dia juga tidak mahu terlalu bersaing dengan peserta lain yang semuanya handal selain hanya berjanji melakukan yang terbaik menjelang konsert minggu mendatang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI