NEW YORK – Bintang Perancis dan Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe muncul sebagai pemain bola sepak termahal dunia dengan memintas Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo buat kali pertama selepas lapan tahun.
Menurut laporan Forbes, Mbappe, 23, bakal memperoleh pendapatan tahunan sebanyak AS$128 juta (RM593.60 juta) diikuti Messi iaitu AS$120 juta (RM556.50 juta) dan Ronaldo di tempat ketiga AS$100 juta (RM463.75 juta).
Rakan sepasukan Mbappe dan Messi di PSG iaitu Neymar pula pada kedudukan keempat dengan pendapatan sebanyak AS$87 juta (RM403.46 juta), manakala bintang Liverpool, Mohamed Salah di tempat kelima dengan AS$53 juta (RM245.79 juta).
Menurut Forbes, Mbappe melepasi pencapaian AS$100 juta (RM463.75 juta) pada usia 23 tahun, manakala legenda seperti Messi dan Ronaldo berusia 30-an ketika kali pertama meraih pendapatan sebanyak itu.
Antara faktor utama adalah disebabkan penyerang sensasi itu menandatangani kontrak lanjutan selama tiga tahun untuk terus menyarung jersi PSG di Parc des Princess pada Mei lalu.
Forbes juga melaporkan perjanjian itu akan menyaksikan Mbappe meraih gaji dan bonus kira-kira AS$110 juta (RM510.13 juta) selain anggaran tambahan pendapatan tahunan AS$18 juta (RM83.48 juta) daripada penajaan.
Mbappe menjadi penghias kulit permainan video FIFA 23, mengasaskan syarikat pengeluaran Zebra Valley dan pelabur dalam platform fantasi NFT, Sorare, selain ditaja oleh Nike, Dior, Hublot serta Oakley.
“Dia (Mbappe) sudah menjadi ikon global. Dia mahu membantu dunia dan membuktikan bahawa sesuatu yang hebat boleh dibina di Perancis,” kata pengasas bersama Sorare, Nicolas Julia kepada Forbes. – AGENSI