PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) komited untuk melaksanakan semua inisiatif seperti yang telah diumumkan kerajaan pada pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat semalam.
PTPTN berkata, perincian pelaksanaan insentif seperti kenaikan jumlah pinjaman, penyediaan pinjaman komputer kepada kumpulan M40 dan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN akan dimaklumkan.
Jelasnya, bagi pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama, ia dilaksanakan sebagaimana yang telah dilakukan sebelum ini.
“Permohonan bagi inisiatif ini telah dibuka bermula 15 September lalu sehingga 31 Disember depan dan ia terbuka kepada peminjam yang bergraduat pada tahun 2019, 2020 dan 2021.
“PTPTN sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa komited dan bersedia untuk membantu peminjam selaras dengan inisiatif #PTPTNSediaBantu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, dalam pembentangan Bajet 2023 semalam, antara inisiatif yang disediakan PTPTN adalah termasuk pengecualian bayaran balik pinjaman kepada semua peminjam yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.
Kedua, kenaikan kadar pinjaman PTPTN dan penyediaan pinjaman komputer untuk kumpulan M40.
Turut disediakan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM8,000 untuk simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional dilanjutkan sehingga 2024.
Sementara itu, bagi insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN yang bermula 1 November ini sehingga April tahun depan pula meliputi diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman.
Diskaun 15 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran serta diskaun 15 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.-KOSMO! ONLINE