HASRAT Penang untuk terus cipta kejutan tidak terlaksana apabila tunduk 4-1 kepada Sabah di Stadium Likas, sebentar tadi.
Sebelum perlawanan, Penang pastinya sedang berada pada motivasi terbaik selepas menewaskan finalis Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Kuala Lumpur City 1-0, 24 September lalu.
Namun keputusan kali ini menamatkan kemarau kemenangan Sabah dan meletakkan The Rhinos di landasan tepat untuk cuba menamatkan kempen Liga Super di tempat kedua.
Selepas beberapa kali gagal menyudahkan peluang yang dicipta, minit ke-33 penyokong Sabah akhirnya ceria untuk meraikan gol pembukaan Baddrol Bakhtiar selepas menyambut hantaran lintang Alto Linus.
Selang 10 minit selepas itu, situasi Penang makin parah selepas tonggak pertahanannya, Rafael Vitor dilayangkan kad merah kerana melakukan terjahan terhadap bintang import tuan rumah, Saddil Ramdani.
Sekalipun hilang seorang pemain, motivasi Penang seakan tidak terjejas apabila tetap menerapkan permainan terbuka bagi memburu gol penyamaan dan beberapa kali berjaya memaksa benteng Sabah bekerja keras.
Usaha keras Penang akhirnya membuahkan hasil apabila Adib Abdul Raop meledak gol penyamaan pada minit ke-69 namun tuan rumah menunjukan reaksi balas pantas dan hanya memerlukan tiga minit untuk kembali berada di depan menerusi Park Taesu.
Seterusnya Sabah menambah dua lagi gol menerusi Saddil pada minit ke-79 dan Stuart Wilkin, minit ke-89. – KOSMO! ONLINE