PETALING JAYA – Seorang wanita mendedahkan dia mempunyai masalah ketidakupayaan pembelajaran iaitu Dyscalculia apabila terbaca mengenai Dyslexia.
Sejurus membaca tentang perkara tersebut, dia yang dikenali sebagai Fija terkejut dengan simptom-simptom yang dijelaskan kerana mempunyai banyak persamaan dengan dirinya.
“Saya terus mencari pusat Dyslexia untuk mengesahkan perkara tersebut dan mereka menjalankan beberapa pemeriksaan seperti kuiz matematik dan latihan yang lain.
“Keputusannya memang saya menghidap Dyscalculia, Dyspraxia, dan Dysgrafia,” katanya menerusi video yang dimuat naik di media sosial miliknya.
Dyscalculia ini merupakan ketidakupayaan mental yang tidak boleh dirawat tetapi boleh dikawal dengan pembelajaran dalam kaedah yang berbeza.
Menurutnya, dia tidak meneruskan rawatan kerana usianya yang sudah menjangkau 20-an.
Antara simptom yang ketara sehingga Fija yakin dia menghidap Dyscalculia adalah lambat belajar matematik, selalu nampak nombor terbalik, tidak boleh mengukur apa-apa secara bayangan dan kerap membuat perkiraan menggunakan jari.
“Keyakinan diri saya terganggu kerana lambat faham dan seringkali nampak nombor terbalik contohnya apabila ditulis 1919 saya akan nampak seperti 1991 tetapi ia akan berubah-ubah apabila melihat untuk kali kedua.
“Saya juga tidak boleh mengukur sesuatu kerana apabila orang menyebut satu kaki saya tidak boleh bayang sejauh manakah jarak tersebut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE