fbpx

Bajet 2023: Langkah tepat ke arah luar bandar sejahtera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahdzir.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyifatkan pembentangan Bajet 2023 sebagai langkah tepat ke arah pencapaian luar bandar sejahtera yang digariskan kementerian itu.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Bajet 2023 untuk kementerian itu yang meningkat sebanyak 4 peratus atau hampir RM424.9 juta berbanding 2022, menunjukkan komitmen kerajaan Keluarga Malaysia melaksanakan agenda kesejahteraan rakyat di luar bandar.

“KPLB merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di atas peruntukan RM10.93 billion kepada KPLB dan ia merupakan bajet yang inklusif dan menyeluruh dalam memastikan tiada golongan yang tertinggal termasuk B40 dan warga luar bandar.

“KPLB menyokong usaha yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan menerusi Bajet 2023 untuk memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan yang akan memberi manfaat kepada 8.09 juta penduduk luar bandar”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Mahdzir, Bajet 2023 KPLB meliputi RM3.62 bilion peruntukan mengurus dan RM7.31 bilion bagi peruntukan pembangunan.

Menerusi peruntukan itu katanya, lebih banyak projek pembangunan akan dapat dilaksanakan di kawasan luar bandar bukan sahaja dari segi infrastruktur tetapi juga dari segi ekonomi dan modal insan.

“Ini seterusnya dapat menyokong pembangunan sosio-ekonomi serta mewujudkan persekitaran kehidupan luar bandar yang sejahtera seperti mana yang digariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030.

“KPLB turut menerima peruntukan sejumlah RM2.49 bilion bagi pembangunan infrastruktur asas di luar bandar seperti Bekalan Elektrik Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar, Jalan Luar Bandar, Jalan Perhubungan Desa, Jambatan Luar Bandar dan Program Ameniti Sosial,” katanya.

Jumlah itu adalah RM64.2 juta atau 2.6 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan tahun 2022.

Selain itu, RM102.86 juta diperuntukkan untuk kos operasi dan penyelenggaraan lampu jalan kampung.

Untuk merancakkan ekonomi di luar bandar pula, KPLB menerima peruntukan sebanyak RM114.4 juta untuk aktiviti keusahawanan luar bandar.

Jumlah itu kata Mahdzir, meningkat sebanyak RM84 juta atau 26.6 peratus berbanding tahun 2022.

Bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk luar bandar, RM460 juta diperuntukkan bagi Program Perumahan Rakyat Keluarga Malaysia (PPRKM), yang sebelum ini dikenali sebagai Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Jumlah itu jelas Mahdzir, peningkatan sebanyak RM99 juta atau 21.5 peratus berbanding tahun 2022.

Sejumlah RM25 juta juga diperuntukan untuk program-program lain di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat seperti Program Peningkatan Pendapatan, Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya serta Program Komuniti Sejahtera.

“KPLB juga amat mengalu-alukan peruntukan bagi memperkasakan agenda pembangunan Bumiputera khususnya dalam bidang pendidikan, ekonomi dan keusahawanan yang turut memberi manfaat kepada golongan belia dan wanita di luar bandar,” jelasnya lagi. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI