fbpx

Fitnah Vivy Yusof, netizen diarah fail pembelaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peguam Mohd. Syakirin Shazwan yang mewakili defendan Alia Najwa Hassannudin ketika ditemui selepas prosiding hari ini.

KUALA LUMPUR – Netizen wanita yang didakwa memfitnah usahawan e-dagang yang juga pemilik FashionValet Datin Vivy Yusof berhubung bantuan kerajaan golongan B40 dan M40, diarah memfailkan pernyataan pembelaan dalam tempoh 14 hari bermula hari ini oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Perkara itu dimaklumkan peguam Mohd. Syakirin Shazwan yang mewakili wanita itu Alia Najwa Hassannudin, 28, selaku defendan selepas prosiding pengurusan kes saman tersebut dalam kamar Hakim Datin Rohani Ismail hari ini.

“Saman berjaya disampaikan kepada defendan justeru mahkamah menetapkan pihak kami memfailkan pernyataan pembelaan dalam tempoh 14 hari bermula hari ini,” katanya ketika ditemui selepas prosiding.

Terdahulu Mohd. Syakirin memaklumkan sebelum ini pihaknya juga telah memfailkan memorandum kehadiran pada Isnin lalu dan telah diserahkan kepada peguam Vivy selaku plaintif semalam.

Sementara itu ketika ditanya adakah kedua-dua pihak akan menyelesaikan kes saman ini secara baik, Mohd. Syakirin berkata pihaknya masih menunggu arahan seterusnya.

Dalam prosiding itu Vivy diwakili  itu peguam Pauling Hee.

Tarikh 4 Januari 2021 ditetapkan  bagi pengurusan kes.

Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof ,33, memfailkan saman fitnah itu melalui Tetuan Foong Cheng Leong & Co. pada 15 Jun lalu dengan menamakan Alia Najwa selaku defendan tunggal.

Berdasarkan penyataan tuntutan melalui carian dalam e-filing, Vivy mendakwa pada 28 Mac lalu, beliau telah menerbitkan rakaman video di akaun Instagramnya berhubung perbualan empat usahawan berkaitan status ekonomi akibat Covid -19 dan Pakej Ransangan Ekonomi yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Vivy berkata pada 30 Mac lalu, defendan telah menerbitkan beberapa penyataan berkenaan plaintif di akaun Facebook dan Instagram milik defendan dan secara salah menyatakan bahawa plaintif mempersoalkan tindakan kerajaan untuk membantu golongan B40 dan M40, sedangkan mereka tidak memberi apa-apa sumbangan kepada ekonomi negara.

Usahawan wanita itu mendakwa penyataan-penyataan fitnah itu antara lainnya membawa maksud bahawa plaintif tidak bersimpati terhadap golongan B40 dan M40, bersikap angkuh, mementingkan diri sendiri dan tidak profesional serta hanya mementingkan keuntungan.

Plaintif juga mendakwa defendan turut berkata, dia tidak layak memegang jawatan di mana-mana organisasi dan terasing dengan masyarakat umum.

Berikutan pernyataan-pernyataan fitnah itu, reputasi plaintif terjejas teruk selepas pengguna-pengguna laman sosial menghina, menyerang, mengecam dan mengutuk plaintif secara terbuka.

Kata Vivy, selain itu penerbitan pernyataan fitnah tersebut telah menyebabkan suatu petisyen di laman web sekitar 1 April lalu di mana petisyen tersebut diwujudkan bagi mendesak plaintif dilucutkan daripada Ahli Lembaga Pengarah UiTM kerana menghina golongan berkenaan.

Petisyen tersebut telah ditandatangani lebih 230,000 pengguna Internet sejak ia dilancarkan.

Ikon fesyen itu mendakwa pada 2 April lalu, satu surat tuntutan telah dikeluarkan kepada defendan dan menuntut supaya defendan berhenti menerbitkan sebarang penyataan fitnah terhadap plaintif di laman sosial.

Namun plaintif juga mendakwa defendan membalas surat tuntutan melalui aplikasi Facebook tetapi gagal mematuhi kesemua kehendak plaintif.

Justeru, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, suatu perintah supaya defendan memadamkan penerbitan penyataan-penyataan fitnah tersebut selain memohon defendan menerbitkan suatu permohonan maaf (dalam bentuk video) yang akan ditetapkan  plaintif. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI