fbpx

Bajet 2023: Bantuan ini besar maknanya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengunjung pasar raya, Muhammad Fittry (kanan) dan keluarga sedang menonton siaran langsung Pembentangan Bajet 2023 di pusat beli-belah AEON Shah Alam, Selangor semalam. FOTO ZULFADHLI ZAKI

PETALING JAYA – Kerajaan bersetuju untuk menambah baik Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kepada RM2,500 bagi isi rumah yang berpendapatan bawah RM2,500 dan mempunyai lima anak atau lebih.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ia merupakan kategori baharu yang diwujudkan sebagai usaha untuk mengurangkan beban isi rumah yang mempunyai ramai anak.

“Bagi isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM2,500 dan menanggung seorang sehingga lima anak, bantuan BKM sebanyak RM1,000 hingga RM2,000 akan disalurkan kepada mereka yang layak.

“Bagi isi rumah yang menerima pendapatan RM2,500 hingga RM5,000 pula, bantuan sebanyak RM500 sehingga RM1,250 diberikan bergantung kepada bilangan anak yang ditanggung,” katanya pada sesi pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat semalam.

Bukan itu sahaja, golongan warga emas yang tiada pasangan dan golongan bujang pula, kerajaan akan terus menyalurkan bantuan masing-masing seba­nyak RM600 dan RM300 bergantung kepada had pendapatan tertentu.

“Bantuan kepada ibu bapa tunggal juga dinaikkan maksimum sehingga RM3,000 berban­ding RM2,500 pada perbentangan bajet tahun lalu iaitu tambahan sebanyak RM500.

“BKM 2023 ini akan memberi manfaat kepada 8.7 juta penerima dan melibatkan peruntukan seba­nyak RM7.8 bilion.

Pasangan yang mempunyai lima anak dan lebih layak menerima bantuan sebanyak RM2,500 pada tahun hadapan. – GAMBAR HIASAN / FOTO SHIDDIEQIIN ZON

“Bantuan BKM 2023 adalah bantuan komprehensif yang ditambah baik dengan begitu ketara jika dibandingkan dengan Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 dengan dua juta penerima melibatkan peruntukan sebanyak RM5 bilion,” tambahnya.

Tambah Tengku Zafrul lagi, atas keprihatinan kerajaan ke atas golongan susah dan B40, bantuan tunai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tahun 2023 akan melebihi RM10 bilion.

“Diharap bantuan ini dapat memberi kelegaan kepada pene­rima dan digunakan sebaik mungkin sebagai keperluan ma­sing-masing,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Nor Kamariah Saad, 48, berkata, bantuan tambahan BKM seba­nyak RM500 cukup besar dan begitu bererti buatnya yang tidak bekerja dan mempunyai enam anak untuk menampung per­belanjaan harian.

“Tahun ini kami mendapat bantuan RM2,000, jadi apabila kerajaan umum bantuan RM2,5000 untuk isi rumah yang mempunyai pendapatan RM2,500 sudah tentu melegakan.

“Bantuan ini akan digunakan untuk keperluan kami anak-beranak memandangkan kos sara hidup juga semakin meningkat,” katanya kepada Kosmo!.

Pegawai pemasaran, Noor Izani Suzana Ishak, 25, berte­rima kasih kepada kerajaan ke­rana masih mengekalkan bantuan kepada golongan bujang sehingga RM600 mengikut kela­yakan menerusi Bajet 2023 yang diumumkan semalam.

“Terima kasih kerana memberi perhatian kepada orang bujang seperti saya. Pastinya saya akan menggunakan bantuan ini untuk membayar pinjaman memandangkan saya baru bekerja dan gaji pula di bawah RM2,500,” katanya.

Bagi warga emas, Zainab Abdullah, 68, wanita itu berharap kerajaan akan terus menyalurkan bantuan dan menjaga kebajikan hidup terutama golongan sepertinya.

“Sekarang ramai yang mula rasa terbeban terutama kami (golongan warga emas). Kami tidak mempunyai tenaga untuk bekerja mencari pendapatan sendiri. Ada yang menerima pencen, tapi masih tidak mencukupi untuk menampung belanja bulanan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI