fbpx

PTPTN sediakan inisiatif untuk pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Noraini menyerahkan replika kad bernilai RM500 kepada penerima Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin di Kuala Lumpur baru-baru ini.

BATU PAHAT – Sebagai sebuah agensi yang sentiasa berusaha menjaga kebajikan pelajar khususnya para peminjam tabung pendidikannya, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyediakan pelbagai inisiatif untuk manfaat pelajar.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, sebagai contoh, PTPTN pada hari ini berbesar hati untuk menyediakan bantuan pengajian KPT-PTPTN Prihatin kepada seramai 38 orang pelajar dari kawasan Parlimen Parit Sulong yang mengikuti pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

“Bantuan ini bertujuan membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk menampung kos sara hidup di IPT.

“Sejumlah RM19,000 juga telah diperuntukkan untuk inisiatif ini dan setiap pelajar akan menerima sebanyak RM500 secara one-off terus ke dalam akaun bank mereka,” katanya pada Program Pembangunan Mahasiswa Baharu dan Sesi Ramah Mesra Bersama Menteri Pengajian Tinggi di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, pada Khamis.

Penerima WPP PTPTN bergambar bersama Dr. Noraini dan Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN.

Menurut Noraini, PTPTN turut menyediakan Wang Pendahuluan Pinjaman atau WPP kepada pelajar baharu yang berjaya melanjutkan pengajian di IPTA (Institut Pengajian Tinggi Awam) dan Politeknik.

Katanya, pemberian WPP itu membolehkan pelajar baharu membuat persiapan awal seperti membeli pakaian, peralatan untuk pembelajaran, sebagai kos pengangkutan dan untuk membayar sebahagian daripada yuran pengajian.

Pada masa yang sama katanya, ini juga merupakan antara usaha PTPTN untuk memastikan bahawa tidak ada pelajar yang gagal memasuki IPT disebabkan oleh masalah kewangan.

“Alhamdulillah, bagi kemasukan pelajar peringkat ijazah ke IPTA dan Politeknik bagi sesi Oktober 2022 ini, seramai 28,278 pelajar telah ditawarkan WPP melibatkan peruntukan sebanyak RM42.4 juta.

“Di negeri Johor sahaja, seramai 3,520 orang pelajar ditawarkan WPP dengan peruntukan sebanyak RM5.28juta, manakala untuk Parlimen Parit Sulong sahaja, seramai 108 pelajar yang telah dikenal pasti mendapat tawaran WPP dengan peruntukan sebanyak RM162,000,” ujar beliau.

Salah seorang pelajar Kemas menerima replika kad Simpan SSPN Prime daripada Dr. Noraini.

Untuk makluman para pelajar katanya, surat tawaran WPP itu mempunyai tempoh sah laku selama dua bulan dan bagi tawaran WPP yang akan disampaikan pada hari ini pula, tempoh sah lakunya adalah bermula pada 5 Oktober (Rabu) hingga 5 Disember tahun ini.

Justeru kata Noraini, dalam tempoh tersebut, para pelajar yang mendapat surat tawaran WPP nanti boleh menunaikannya di mana-mana kaunter Bank Islam mulai Rabu dengan membawa surat tawaran berkenaan serta menunjukkan MyKad untuk pengesahan diri.

Dalam pada itu, beliau turut mengambil kesempatan untuk mempromosikan Program Kembara Keluarga Simpan SSPN Tahun 2022 yang melibatkan sumbangan zakat PTPTN kepada 17,800 orang pelajar asnaf di 178 kawasan terpilih di 12 buah negeri.

Ujarnya, sumbangan itu diberikan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime dan melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.78juta.

Timbalan Pengarah Kemas negeri Johor, Wan Assim Wan Sheikh menerima replika cek Program Kembara Keluarga Simpan SSPN berjumlah RM260,000.

Secara umumnya, beliau berkata, program ini bertujuan membantu pelajar asnaf daripada aspek pendidikan dan pada masa yang sama, ia juga merupakan galakan awal untuk memulakan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak Keluarga Malaysia.

“Bagi Program Kembara Keluarga Simpan SSPN Tahun 2022 Peringkat Negeri Johor pada hari ini, sebanyak 26 kawasan terlibat dan sebanyak RM260,000 juga telah diperuntukkan dengan setiap kawasan bakal menerima RM10,000,” katanya yang memaklumkan, seramai 100 orang pelajar asnaf akan menerima sumbangan akaun Simpan SSPN Prime bernilai RM100 tiap seorang.

Tambah Noraini, penghargaan juga diberikan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan pemimpin setempat yang banyak membantu pihak KPT dan PTPTN untuk mengenal pasti pelajar asnaf yang layak. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI