PETALING JAYA – Kebajikan pasukan beruniform tanah air dan pesara turut tidak terkecuali daripada menikmati peruntukan menerusi pembentangan Bajet 2023.
Menerusi bajet dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebanyak RM118 juta diperuntukan untuk menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).
Katanya, kerajaan bercadang untuk membina RKAT baharu pelbagai kelas di Pangkalan Udara Butterworth Pulau Pinang selain 12 projek pembinaan RKAT yang sedang berjalan.
“Selain itu, RM42 juta bagi membaik pulih dan menaik taraf kuarters kediaman PDRM.
“RM28 juta pula sebagai peruntukan 2023 bagi meneruskan tiga projek pembinaan kuarters di bawah Jabatan Penjara antaranya di Pusat Koreksional Labuan dan Akademi Koreksional Malaysia,” katanya.
Bagi 21,000 pemegang kad veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kad pesara polis di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Pulau Pinang, mereka bakal menikmati 50 peratus diskaun ke atas pengangkutan awam di bawah kendalian Prasarana. – KOSMO! ONLINE