HONG KONG – Pihak berkuasa Lapangan Terbang Hong Kong (AAHK) mengesahkan rancangan memberikan 500,000 tiket penerbangan percuma kepada pelancong asing, bertujuan untuk meningkatkan aktiviti pelancongan di bandar raya itu, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.
Langkah itu yang pertama kali diumumkan dua tahun lalu, disahkan oleh seorang jurucakap AAHK. Beliau berkata, sebanyak 500,000 tiket bernilai sekitar AS$254.8 juta (RM1.18 bilion) akan diagihkan kepada pelawat asing dan penduduk bandar raya itu.
“Pada 2020, AAHK membeli kira-kira 500,000 tiket penerbangan lebih awal daripada syarikat-syarikat penerbangan tempatan di Hong Kong sebagai sebahagian daripada pakej bantuan menyokong industri penerbangan.
“Pembelian ini bertujuan untuk menyuntik kecairan pasaran ke dalam syarikat penerbangan, manakala tiket akan diberikan kepada pelawat dari seluruh dunia dan penduduk Hong Kong dalam kempen pemulihan pasaran,” kata jurucakap sama.
Butiran lanjut akan diumumkan sebaik sahaja persetujuan berkaitan dicapai dengan syarikat-syarikat penerbangan.
Hong Kong terasing dari seluruh dunia kerana peraturan ketat berkaitan Covid-19. Pada satu peringkat, bandar raya itu mengarahkan pelawat untuk menjalani kuarantin selama 21 hari di bilik hotel menggunakan perbelanjaan sendiri.
Tempoh kuarantin dikurangkan daripada tujuh kepada tiga hari sebelum dibatalkan secara rasmi pada 26 September lalu. Ini mendorong ramai penduduk melayari laman web syarikat penerbangan untuk menempah tiket.
Pada satu tahap, syarikat penerbangan Cathay Pacific terpaksa menyediakan ‘ruang menunggu’ secara maya untuk mengatasi kesesakan pelanggan yang mengakses laman webnya.
Perkhidmatan tempahan secara online, Expedia pula menyaksikan lonjakan sembilan kali ganda untuk pencarian penerbangan dari Hong Kong ke Tokyo dan 11 kali ganda untuk Hong Kong ke Osaka, walaupun minat untuk penerbangan masuk ke bandar raya itu kekal tidak berubah, demikian menurut ketua perhubungan awam Asia Expedia, Lavinia Rajaram. – Agensi