fbpx

Sibuk bekerja, rehat ubat terbaik – Daiyan Trisha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERNAH memaksa diri keluar memenuhi undangan acara malam kelmarin, Daiyan Trisha bagaimanapun akur apabila sedar badannya yang tidak sihat masih belum bersedia untuk kembali bekerja.

PETALING JAYA – Barangkali akibat kesibukan kerja tanpa henti dan baru pulang dari menghadiri beberapa majlis minggu pertunjukan fesyen di luar negara, Daiyan Trisha memaklumkan keadaan kesihatannya kurang baik ketika ini.

Daiyan berkata, dia tidak sihat sejak beberapa hari lalu dan hanya terbaring di atas katil tetapi masih menggagahkan diri menghadiri sebuah acara malam kelmarin.

Bagaimanapun ujar Daiyan atau nama sebenarnya Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin, 27, keadaan kesihatan yang kurang baik akhirnya memaksa dia membatalkan beberapa kerja seperti menghadiri acara dan juga sebuah persembahan pada hari ini.

“Saya nak maklum, ini akan jadi acara yang saya hadiri minggu ini. Saya tahu itu semua bagus dan dah biasa lakukannya tetapi sejujurnya, saya tak berapa sihat sejak beberapa hari lalu.

“Saya terbaring di atas katil sakit dan buatkan saya kecewa kerana terpaksa membatalkan banyak acara pada minggu ini dan juga persembahan pada esok (hari ini),” katanya menerusi hantaran dalam Instagramnya.

Penyanyi lagu Penat itu sebelum itu terlebih dahulu berkongsi beberapa gambar dan video ketika menghadiri sebuah acara oleh sebuah jenama terkenal, Christian Louboutin di ibu negara.

Biarpun sudah mencuba, tetapi Daiyan mengakui badannya masih belum cukup kuat dan bersedia keluar bekerja seperti biasa.

“Saya dah cuba yang terbaik dan pergi ke acara (seperti malam tadi) tetapi badan saya tak bersedia lagi. Saya tak biasa tidak bekerja jadi saya rasa keadaan itu buatkan saya terluka juga.

“Tetapi sekarang saya tahu, saya perlu rehat. Jadi untuk minggu ini, ini yang saya akan lakukan iaitu rehat (sebenarnya dari minggu lepas saya dah lakukannya, kalau kalian perasan saya agak diam),” katanya lagi.

Atas sebab itu, Daiyan memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat kerana tidak dapat menghadiri acara dan juga kerja-kerja lain seperti sesi fotografi yang sudah dipersetujui dari awal.

“Saya minta maaf atas kesulitan yang berlaku dan menunda beberapa fotografi. Saya benar-benar minta maaf kepada mereka yang terkesan.

“Saya harap kembali cepat sembuh. Untuk waktu sekarang, saya tahu, rehat adalah ubat terbaik untuk saya,” kata Daiyan.

Beberapa minggu lalu, Daiyan merupakan antara selebriti tempatan yang diundang menghadiri beberapa pertunjukan fesyen di luar negara.

Antara acara yang dihadiri Daiyan ialah Minggu Fesyen New York 2022 dan Minggu Fesyen Milan 2022 bersama beberapa rakan selebriti lain seperti Yaya Zahir, Joe Flizzow, Yuna, Hael Husaini, Scha Alyahya dan Awal Ashaari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI