fbpx

240 remaja ditahan selepas dikepung dalam Op Samseng Jalanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian remaja ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Pegawai, Alor Setar awal pagi tadi.

ALOR SETAR – Keseronokan sekumpulan remaja berlumba sesama sendiri serta membuat pelbagai aksi berbahaya berakhir dengan mereka ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Pegawai di sini, awal pagi tadi.

Dalam operasi kira-kira pukul 3.30 pagi itu, polis menahan seramai 240 remaja lelaki dan perempuan membabitkan 189 motosikal dan 36 kereta.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, operasi tersebut melibatkan penugasan seramai 30 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.

Katanya, pasukan polis sebelum itu memulakan pemantauan di lokasi berkenaan pada pukul 1.30 pagi dan mengesan aktiviti samseng jalanan melibatkan sekumpulan besar remaja bermotosikal.

“Kumpulan remaja ini dilihat menjadikan dua persimpangan lampu isyarat di lokasi sebagai garisan perlumbaan dan kelihatan seronok dengan aksi mereka disaksikan beberapa remaja lain yang berada di bahu jalan.

“Setelah intipan dan pemantauan dijalankan, anggota melakukan kepungan tepat pukul 3.30 pagi iaitu ketika kumpulan remaja bermotosikal itu sedang leka berlumba sesama sendiri dan membuat pelbagai aksi berbahaya,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kumpulan remaja bermotosikal termasuk sebahagian yang menaiki kereta yang terkejut dengan kehadiran pihak polis cuba melarikan diri dari lokasi.

“Mereka bagaimanapun gagal berbuat demikian apabila semua laluan keluar telah dikepung oleh pasukan operasi,” ujarnya.

Beliau berkata, polis berjaya menahan seramai 240 remaja lelaki dan perempuan untuk tujuan pemeriksaan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 189 motosikal dan 36 kereta diperiksa yang mana sebanyak 143 saman Pol 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, manakala 39 motosikal lagi dikenakan tindakan sita,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI