fbpx

355 pelajar sekolah di Kelantan terima dana YPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Razman (kiri) beramah mesra dengan murid yang menerima sumbangan pada Program CSR Pendidikan YPM di Sekolah Kebangsaan Bahagia, Kuala Krai semalam. - Foto ROSMIZAN RESDI

KUALA KRAI – Yayasan Pelajaran Mara (YPM) memperuntukan dana sebanyak RM38,000 untuk murid dan pelajar sekolah di Kelantan menerusi jelajah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pendidikan Pesisir Pantai.

Pengerusi YPM, Datuk Mohd. Razman Yaacob, berkata, program berkenaan melibatkan seramai 355 murid sekolah di tiga daerah iaitu di Kuala Krai, Bachok dan Pasir Puteh.

Menurutnya, sekolah yang terpilih dalam program itu antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Bahagia, SK Tok Bali, SK Kamil, Sekolah Menengah Ugama (SMU) Saadatul Qura, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nipah dan SMK Kandis.

“Menerusi program ini, pelajar menerima bantuan persekolahan secara ‘one-off’ sebanyak RM100 seorang. Bantuan itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka untuk membeli peralatan sekolah atau kemudahan lain yang bermanfaat.

“Program CSR ini diadakan sebagai inisiatif membantu pelajar daripada golongan kurang berkemampuan supaya tidak terpinggir dalam arus pendidikan yang semakin moden dan mencabar,” katanya pada sidang akhbar selepas menyalurkan dana menerusi Jelajah Program CSR Pendidikan YPM di Sekolah Kebangsaan Bahagia di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohd. Razman turut mengumumkan bantuan tambahan masing-masing sebanyak RM5,000 kepada SK Bahagia dan SMU Saadatul Qura dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Krai.

Katanya, siri jelajah CSR Pendidikan Pesisir Pantai YPM seterusnya akan diadakan di Semporna, Sabah dalam masa terdekat bagi mendekati sendiri kehidupan pelajar di sana. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI