fbpx

Agong berkenan tamat darurat tangguh PRK di Parlimen, DUN kosong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.

Perintah pembatalan itu melibatkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Pembatalan) 2022 dan Proklamasi Darurat (Pembatalan) 2022 bagi Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah serta Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) (Pembatalan) 2022 dan Proklamasi Darurat (No. 2) (Pembatalan) 2022 bagi Parlimen P.054 Gerik, Perak.

Turut dibatalkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 3) (Pembatalan) 2022) dan Proklamasi Darurat (No. 3) (Pembatalan) 2022 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.66 Bugaya, Sabah.

Pembatalan semua ordinan dan proklamasi darurat berkenaan dibuat mengikut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dan Fasal (1) dan (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong sebelum ini perkenan isytihar darurat di Parlimen Batu Sapi berkuat kuasa 18 November 2020 serta Parlimen Gerik dan DUN Bugaya masing-masing berkuat kuasa 12 Disember 2020 bagi membendung penularan Covid-19.

Berdasarkan Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 6 Oktober lalu yang disiarkan Jabatan Peguam Negara, pembatalan itu berikutan Seri Paduka Baginda berpuas hati bahawa keperluan kesemua ordinan dan proklamasi darurat berkenaan yang diisytiharkan susulan wabak penyakit berjangkit Covid-19 telah berakhir.

Warta Kerajaan Persekutuan itu turut menyatakan perkara tersebut akan dibentangkan di Parlimen menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI