IPOH – Seorang pemandu bas ekspres parah setelah kenderaan dipandunya melanggar belakang sebuah treler di Kilometer 264, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini awal pagi tadi.
Difahamkan, bas ekspres membawa 15 penumpang itu dalam perjalanan dari Baling, Kedah ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 2.30 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya segera dihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat.
“Kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres membawa 15 penumpang yang melanggar bahagian belakang treler membawa muatan besi.
“Dalam kejadian itu, pemandu bas, Mohd. Saiful Sahak, 39, parah manakala dua penumpang lelaki cedera ringan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Katanya, anggota segera bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dan menyerahkannya kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut.
“Pemandu treler tidak mengalami kecederaan. Operasi tamat pada pukul 4.50 pagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE