LOS ANGELES, California – Polis sedang memburu pembunuh bersiri yang dipercayai melakukan sekurang-kurangnya lima pembunuhan di sebuah bandar kecil di negeri California, kata beberapa pegawai.
Polis juga menyiarkan imej kurang jelas, memaparkan seorang lelaki yang dikehendaki berhubung siri pembunuhan di bandar Stockton itu di mana lima orang mati dalam tempoh kurang tiga bulan.
“Jenayah tersebut memenuhi definisi pembunuh bersiri,” kata pegawai polis Stockton, Joe Silva kepada agensi berita AFP kelmarin.
Ketua polis Stockton, Stanley McFadden memberitahu pemberita Selasa lepas bahawa lima insiden tembakan maut berlaku di sebuah kawasan di Stockton antara 8 Julai hingga 27 September lalu dan mempunyai banyak persamaan.
Satu kes tembakan pada April 2021 di Oakland yang terletak sekitar 80 kilometer dari Stockton, juga sedang disiasat, kata polis pada minggu ini.
McFadden bagaimanapun tidak mendedahkan butiran persamaan yang ada.
Sekurang-kurangnya tiga mangsa yang terbunuh adalah gelandangan, begitu juga seorang wanita yang ditembak tetapi tidak meninggal dunia pada April tahun lalu di Oakland.
“Kami masih cuba mengenal pasti sama ada terdapat seorang atau lebih ramai individu yang melakukan siri pembunuhan ini,” katanya.
Polis menyiarkan rakaman video suspek yang kelihatan sedikit tempang ketika berjalan melintasi beberapa pangsapuri.
“Kami tidak kenal siapa orang dalam klip video ini.
“Itulah sebab kami menyiarkan video ini, dengan harapan ada orang awam yang mengenali suspek,” kata Silva.
Suspek dirakam menggunakan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dekat lokasi jenayah.
“Mangsa dalam kes ini pula bersendirian di kawasan gelap, sama ada lewat petang atau awal pagi,” tambah Silva.
Stockton merupakan bandar yang mempunyai kira-kira 350,000 penduduk dan terletak sekitar 64 kilometer ke selatan ibu negeri California, Sacramento.
Silva berkata, polis turut menawarkan ganjaran AS$125,000 (RM578,812) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapan pembunuh bersiri tersebut. – AFP