fbpx

Konsert Canggung Jamal Abdillah, satu pentas, dua irama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELAIN Jamal, Konsert Canggung turut bakal dimeriahkan dengan barisan penyanyi hebat lain seperti Wany Hasrita, Amelina, Khai Bahar, Aweera dan Amir Masdi. – MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

BUAT julung kalinya, syarikat penerbitan tersohor tanah air, Zeel Productions mengambil langkah berani membawakan persembahan pentas berskala mega menerusi Konsert Canggung Datuk Jamal Abdillah.

Lari daripada kebiasaan, penganjuran konsert yang biasanya diadakan di ibu kota kali ini memilih Kangar, Perlis sebagai lokasi bertemu khalayak.

Penganjur yang juga pemilik Zeel Productions iaitu Fadzil Teh berkata, Konsert Canggung Datuk Jamal Abdillah merupakan buah tangan sulung syarikatnya dalam penganjuran persembahan pentas.

“Kalau ikutkan, sebenarnya sudah lama saya nak anjurkan konsert, cuma disebabkan Covid-19, impian tersebut terpaksa ditangguh dulu.

“Selepas semuanya kembali okey, kami pun merancang untuk konsert bersama Raja Pop negara,” katanya.

Tambah Fadzil, konsert yang bakal menggabungkan elemen irama Malaysia dan pop itu pastinya bakal dinanti-nantikan, terutama dalam kalangan peminat Jamal.

Berkongsi lanjut mengenai pemilihan Jamal, Fadzil berkata, pelantun lagu Azura itu merupakan seorang legenda yang masih relevan hingga ke saat ini.

“Kalau ikutkan, ada ramai juga nama artis dalam senarai kami, tetapi apabila fikir semula, Jamal yang paling sesuai.

“Jamal antara penghibur legenda yang masih aktif menyanyi, membuat persembahan, sentiasa ada lagu dan buah tangan terbaharu serta mempunyai vokal mantap yang tidak dapat dipertikaikan.

Sanggup beli tiket

“Berdasarkan tinjauan yang dibuat di sekitar Perlis dan Kedah, ramai yang nak saksikan persembahan Jamal di depan mata mereka dan sanggup membeli tiket,” katanya.

Selain Jamal, konsert berdurasi lebih dua jam yang bakal berlangsung pada 29 Oktober nanti turut menampilkan barisan penyanyi popular termasuk Wany Hasrita, Khai Bahar, Amir Masdi, Aweera dan Ratu Dangdut, Amelina.

“Menariknya, Khai dan Aweera sendiri berasal dari Perlis.

“Persembahan konsert juga dibarisi pemuzik yang berasal dari negeri Indera Kayangan itu.

“Pendek kata, kita memang nak ketengahkan bakat yang ada di Perlis, sekali gus membuktikan mampu lakukan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, Jamal ketika ditemui berkata, dia menerima tawaran daripada penerbit popular itu adalah kerana keunikan yang cuba dibawa dalam mengangkat negeri kelahiran penerbit tersebut.

“Macam saya sendiri, pada malam itu nanti, saya bukan sahaja akan bawakan lagu sendiri, tetapi diminta untuk menyanyikan beberapa lagu rakyat negeri Perlis.

“Tidak setakat itu, saya juga akan berduet dengan empat lagi penyanyi lain dan itu merupakan salah satu cabaran yang perlu saya terima selepas tawaran dipersetujui,” katanya.

Peminat boleh mendapatkan tiket dengan harga bermula RM99 untuk slot Ghazal Untuk Rabiah, RM119 (Kepadamu Kekasih), RM299 (Seroja), RM499 (Kekasih Awal & Akhir) dan RM10,000 (VIP 10 orang, Meet & Greet).

Tiket konsert boleh dibeli menerusi laman sesawang www.zeelproduction.com atau talian 012-353 0611.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI