JAKARTA – Kakitangan Khas Presiden bagi Hal Ehwal Undang-Undang, Dini Purwono menegaskan bahawa Presiden Joko Widodo (Jokowi) memiliki semua ijazah asli sekali gus menepis dakwaan mengatakan bahawa beliau mengemukakan sijil palsu semasa bertanding dalam Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2019.
Menurut laman berita Kompas, Dini menjelaskan bahawa perkara tersebut (ijazah asli) dapat dibuktikan dengan mudah.
“Kecuali pihak yang mendakwa mahu mengatakan bahawa institusi yang mengeluarkan sijil tersebut menggunakan dokumen palsu.
“Jika itu isu utamanya, kami serahkan kepada pihak berkaitan untuk memberikan penjelasan,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai tindak balas kepada isu di mana seorang penduduk menyaman Jokowi di Mahkamah Negeri Jakarta Pusat kerana mendakwa beliau menggunakan ijazah palsu ketika bertanding dalam Pilpres 2019.
Tuntutan mahkamah tersebut dikemukakan individu bernama Bambang Tri Mulyono, Isnin lalu.
Tambah Dini, tuntutan mahkamah merupakan hak bebas mana-mana warganegara, namun perlu disertai dengan bukti kukuh.
“Jika pengadu tidak menyertakan bersama bukti-bukti yang nyata lagi kukuh, dakwaan itu adalah sia-sia dan akan memalukan diri mereka sendiri,” ujarnya.
Selain Jokowi, turut dinamakan sebagai defendan termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya Umum dan Majlis Mesyuarat Rakyat.
Menurut Sistem Maklumat Penelusuran Perkara Jakarta Pusat, antara yang dituntut dalam petisyen tersebut adalah Jokowi membuat keterangan palsu dan/atau mengemukakan dokumen palsu berupa sijil sekolah rendah, sekolah menengah pertama dan sekolah menengah atas. – Agensi