MADRID – Dua bintang dari Brazil, Rodrygo and Vinicius Jr. menyelamatkan maruah Real Madrid ketika jaringan yang dihasilkan mereka memastikan kemenangan 2-1 ke atas Shakhtar Donetsk dalam aksi Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu awal pagi semalam.
Bagaimanapun, keputusan itu langsung tidak seiring dengan penguasaan dipamerkan Los Blancos yang menguasai 60 peratus permainan dan mencipta 35 percubaan ke arah gawang lawan.
Bintang tengah Real Madrid, Toni Kroos mengakui pasukannya bernasib baik untuk meraih tiga mata penuh dan sepatutnya mampu menamatkan perlawanan dengan keputusan lebih baik.
“Ia memerlukan fokus penuh daripada pemain sepanjang perlawanan kerana kedua-dua pasukan hanya dipisahkan satu gol. Sebarang kesilapan hanya akan beri kesan besar kepada pasukan.
“Dalam perlawanan ini, kami sepatutnya mampu raih kemenangan 7-1. Berdasarkan jumlah peluang yang kami cipta, agak sukar untuk mempercayai kami hanya mampu menang 2-1,” katanya.
Shakhtar Donetsk memperoleh gol sagu hati menerusi Oleksander Zubkov dan keputusan ini meletakkan Real terus mengungguli Kumpulan F dengan mata maksimum selepas mengharungi tiga perlawanan.
Penjaga gol pelawat, Anatolii Trubin nyata menjadi pemain paling menyinar khususnya di babak kedua selepas menafikan banyak peluang terbaik Real Madrid menerusi Vinicius, Karim Benzema, Rodrygo dan Federico Valverde. – AGENSI