LISBON – Paris Saint-Germain (PSG) terpaksa pulang hampa apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 ketika menentang Benfica dalam saingan Kumpulan H Liga Juara-Juara di Stadium Da Luz awal pagi semalam.
Meskipun mendahului perlawanan pada minit ke-22 menerusi jaringan menarik Lionel Messi, namun PSG tidak mampu untuk memastikan tiga mata milik mereka apabila Danilo Pereira menjaringkan gol sendiri empat minit sebelum tamat separuh masa pertama.
Jurulatih PSG, Christophe Galtier mengakui, beliau dan semua pemain PSG sangat kecewa dengan keputusan tersebut meskipun mereka masih mendahului saingan Kumpulan H dengan perbezaan jaringan gol.
“Memang benar semua pemain sangat kecewa dan menyuarakan rasa tidak puas hati kerana mereka sudah menampilkan aksi terbaik pada malam ini (semalam). Benfica adalah pasukan yang sangat bagus.
“Walaupun kami jaringkan gol yang cukup menarik selain memiliki pemain teknikal, namun secara jujur kami tidak cipta banyak peluang. Oleh itu, saya minta semua pemain untuk lebih banyak bergerak,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan, Messi dikeluarkan pada penghujung permainan bukanlah disebabkan kecederaan, namun ia hanya sebagai langkah berjaga-jaga selain memberi peluang kepadanya berehat.
“Selepas melakukan banyak larian sepanjang perlawanan, Messi menjelaskan kepada saya dia agak keletihan. Ia juga memberi peluang kepada pemain-pemain lain untuk dapatkan minit permainan,” ujar Galtier. – AGENSI