LONDON – Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) hanya akan mengumumkan audit kewangan Formula Satu (F1) musim lepas pada minggu depan selepas terdapat spekulasi ada pasukan yang mengeluarkan dana lebih daripada apa yang ditetapkan.
Berdasarkan laporan antarabangsa yang didedahkan minggu lalu, dua pasukan F1 iaitu Red Bull and Aston Martin didapati mengeluarkan dana lebih daripada AS$145 juta (RM672.2 juta) tahun lalu, namun telah dinafikan kedua-dua pasukan.
F1 yang sepatutnya mengeluarkan geran kelulusan kepada pasukan sebelum saingan Grand Prix (GP) Jepun minggu ini membuat keputusan untuk menunda seketika dan hanya menyerahkan geran tersebut pada 10 Oktober depan.
“Sudah banyak spekulasi yang tersebar sejak beberapa hari lepas mengenai dakwaan ada pasukan yang telah melanggar syarat perbelanjaan ditetapkan FIA pada kempen musim lalu.
“Namun, pihak kami masih lagi meneliti segala dokumen dan informasi yang diperlukan sebelum proses penyerahan geran kepada setiap pasukan yang bertanding dapat diserahkan selewatnya pada minggu depan,” katanya.
Badan induk sukan permotoran No. 1 dunia itu telah memperkenalkan bajet siling yang ditetapkan kepada semua pasukan tahun lalu berjumlah AS$145 juta (RM671 juta) sebelum dikurangkan kepada AS$140 juta (RM648.2 juta) musim ini dan AS$135 juta (RM625 juta) tahun depan.
Situasi ini bagi memastikan semua pasukan bersaing lebih kompetitif sesuai dengan bajet tanpa suntikan dana tambahan yang boleh memberi kelebihan ketika berlumba di atas litar nanti. – AGENSI