PETALING JAYA – Penyanyi dangdut kontroversi Baby Shima sekeras-kerasnya menafikan sengaja merancang segala perkongsian yang boleh menimbulkan perhatian atau kecaman netizen dalam media sosial.
Tegas Shima, dia tidak pernah merancang untuk membuat perkongsian dalam media sosial hanya kerana ingin menarik perhatian atau kecaman daripada netizen untuk bercakap buruk mengenainya.
“Bagi Saya, laman sosial saya ini adalah platform untuk buat apa saja yang disukai.
“Macam saya suka menari, jadi saya akan menari saja. Saya menari macam biasa saja, tapi orang lain tetap nak kecam.
“Jadi bila muncul banyak kecaman itu, orang lain pun turut serta kecam. Daripada situ saya tak pernah nak create (cipta) apa-apa hanya untuk mengundang kecaman. Sebab saya memang suka dengan apa yang saya buat,” katanya.
Tambah Shima atau nama sebenarnya Nur Ashima Ramli, 30, dia tidak boleh menutup mulut netizen untuk berkata apa sahaja gera geri yang dilakukannya.
Pada masa sama, pelantun lagu Lalai itu ketika diaju mengenai imej seksinya yang tiada berkesudahan, Shima menyifatkan ramai lagi selebriti yang berpakaian lebih menonjol berbanding dirinya, namun masih menerima pujian.
“Saya ada perasan juga beberapa orang artis yang pakai lebih seksi daripada saya, tayang dada, punggung, lurah dan tayang sampai nampak seluar dalam, tapi segelintir netizen biarkan saja dan dapat pujian lagi.
“Saya yang tak pernah tayang lurah dada, punggung tapi kena maki hamun dengan perkataan kesat. Tapi tak apa, saya okey dan masih boleh bersabar,” katanya usai tayangan perdana filem terbaharu lakonannya berjudul Biko di sini semalam.
Selain Shima, filem arahan Teng Bee yang akan ditayangkan di seluruh negara bermula 13 Oktober itu turut dibarisi Azrel Ismail, Sara Ali dan Syed Irfan.
Terdahulu, episod demi episod kecaman diterima Shima turut menuai teguran daripada beberapa pendakwah terkenal yang menyifatkan tindakan penyanyi kelahiran Permas Jaya, Johor Bahru itu sebagai keterlaluan serta tidak pernah serik mengejar kontroversi dalam media sosial. – KOSMO! ONLINE