fbpx

Lesti hubungi saya selepas dipukul Rizky Billar – Rossa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSSA akui, hubungannya dengan Lesti Kejora sudah seperti adik-beradik.

KUALA LUMPUR – Tumpang simpati atas nasib malang yang menimpa rakan sealiran, Lesti Kejora, penyanyi tersohor dari seberang, Datuk Seri Rossa mengakui ada dihubungi pendangdut yang sudah dianggap seperti adik sendiri itu pada malam kejadian sewaktu dipukul suami, Rizky Billar.

Menurut Rossa, 43, sejurus mendapat panggilan daripada Lesti yang sudah dianggap seperti adiknya sendiri itu, beliau segera menguruskan penyanyi itu dan anaknya agar selamat.

“Sebagai kakak sebenarnya, Lesti menghubungi saya pada malam kejadian dan saya terus koordinasi (menguruskannya) kerana kami cukup rapat.

“Sejak mereka mula berkawan sehinggalah hari ini. Malah, dua hari sebelum melahirkan anak, Lesti masih menyanyi dalam konsert saya,” ujar Rossa.

Tambah Rossa, perkara yang paling penting saat ini adalah keselamatan dan kesihatan buat Lesti serta anaknya, Muhammad Leslar Al-Fatih Billar yang berusia sembilan bulan.

“Kita sudah menguruskan dan paling penting buat saya adalah Lesti dan anaknya sihat serta selamat. Baik fizikal dan mental. Mudah-mudahan tiada kejadian buruk lagi yang akan terjadi.

“Ini adalah ujian Allah buat mereka, apapun berkata tidak terhadap kekerasan,” ulas Rossa yang ditemui pada majlis sidang media konsert Rossa 25 Shining Years di Hotel Royale Chulan di sini sebentar tadi.

Minggu lalu, industri seni Indonesia dikejutkan dengan berita keganasan rumah tangga pasangan popular penyanyi Lesti Kejora dan suaminya, pengacara Rizky Billar.

Dalam kejadian tersebut, Lesti mendakwa dia telah dikasari suaminya dengan cara dicekik dan dihempas ke lantai selepas kecurangan Rizky terbongkar.

Menerusi gambar terbaharu yang tular, Lesti dilihat memakai pendakap leher selepas doktor mengesahkan dua tulang lehernya bergesel akibat kejadian berkenaan.

Menyentuh tentang konsert Rossa 25 Shining Years yang akan berlangsung pada 2 November ini di Plenary Hall Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Rossa begitu teruja selain Judika beliau akan turut berkongsi pentas dengan penyanyi Malaysia Hael Husaini.

KONSERT Rossa 25 Shining Years akan berlangsung pada 2 November ini di Plenary Hall Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) ini turut menyaksikan penampilan istimewa daripada Hael Husaini dan Judika.

“Ini adalah kali pertama saya akan menyanyi dengan Hael, dia seorang penyanyi dan komposer yang berbakat.

“Begitu juga dengan Judika, ini adalah kemunculan pertamanya dalam konsert saya. Diharap kelainan yang ditampilkan akan memberi kepuasan kepada penonton yang hadir,” ujar Rossa yang akan mendendangkan sekitar 27 buah lagu pada konsert tersebut. KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI