JOHOR BAHRU – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dengan kesemua 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) negeri semalam.
Pertemuan tersebut diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga merupakan ADUN Machap.
Turut menghadiri pertemuan berkenaan adalah Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan juga Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Agenda utama pertemuan berkenaan dipercayai adalah sebagai sebahagian persiapan jentera BN Johor untuk berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
Untuk rekod, BN Johor berjaya memperoleh 40 kerusi Dewan Undangan Negeri daripada 56 kerusi dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu.-KOSMO! ONLINE