TIGA fokus utama menjadi perhatian Muhammad Azeem Mohd. Fahmi apabila jaguh pecut kebangsaan itu ‘berguru’ di Amerika Syarikat (AS) bermula Januari tahun depan.
Pemegang rekod 100 meter (m) kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) itu menyasarkan untuk layak secara merit ke Kejohanan Dunia 2023 di Budapest, Hungary pada Ogos.
Ini bermakna, Azeem, 18, perlu mencipta dua rekod baharu kebangsaan dalam acara 100m dan 200m kerana had kelayakan ditetapkan untuk pentas berprestij dunia itu adalah 10s (100m) dan 20.16s (200m).
Rekod 200m kebangsaan masih lagi dipegang oleh atlet negara berpangkalan di Australia, Russel Alexander Nasir Taib dengan catatan 20.77s pada 2019.
Biarpun sukar, tetapi ia tidak mustahil kerana atlet dari Perak itu pernah mencipta sensasi dengan catatan 10.09s pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia tahun ini.
Sasaran seterusnya buat Azeem adalah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 dan menjadi pelari 100m pertama dari Asia Tenggara mencatat masa bawah 10s.
“Dalam tempoh sekarang, semuanya berada pada landasan betul dan juga kedudukan positif. Saya akan cuba yang terbaik untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik Paris.
“Tak mustahil bila-bila masa saya boleh berlari di bawah catatan 10s. Jadi, saya akan terus berlatih dan cuba buat yang terbaik.
“Apabila di AS nanti, saya akan menimba pelbagai ilmu untuk tingkatkan prestasi. Saya harap orang ramai dapat mendoakan saya,” katanya.
Azeem kini diberikan cuti rehat lebih kurang dua hingga tiga minggu sebelum memasuki fasa conditioning selepas menutup saingannya dalam kalendar olahraga tahun 2022.