KUALA LUMPUR – Seorang pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa bekas Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Ab. Samad tidak pernah mengisytiharkan pendapatannnya melebihi RM1juta antara tahun 2013 hingga 2018.
Tuan Zulkfli Tuan Lah, 48, yang merupakan Timbalan Ketua Unit Audit Meja Selebriti, Penghibur Awam dan Pelbagai, Bahagian Penaksiran LHDN, berkata maklumat itu diperoleh daripada rujukan Borang BE Taksiran yang mana ia merupakan maklumat-maklumat pendapatan indvidu melalui penggajian yang diterima dan diisytiharkan Shahrir.
Menurut saksi itu, pendapatan yang diisytiharkan oleh shahrir pada tahun 2013 ialah RM87,834.00, 2014, (RM128,104.00), 2015 (RM213,394.00), 2016 (RM189,545.00), 2017 (RM267,090.00) dan 2018 (RM193,191.00).
“Saya sahkan bahawa Tan Sri Shahrir tidak pernah mengisytiharkan sebarang pendapatan melebihi RM1juta bagi tahun-tahun taksiran 2013 sehingga 2018,” kata saksi pendakwaan ke-21 itu ketika membaca pernyataan saksinya.
Mengulas lanjut, saksi itu berkata berdasarkan peruntukan Seksyen 4 Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53) dan kaedah-kaedah, apa-apa perolehan atau keuntungan lain yang diterima selain daripada penggajian, mana-mana individu wajib melaporkan perolehan tersebut kepada pihak LHDN.
Ketika pemeriksaan utama, ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. ‘Afif Ali sekiranya seseorang itu menerima sumbangan dan sumbangan tersebut dimasukkan ke dalam akaunnya, adakah ia perlu diisytiharkan kepada LHDN? Saksi itu menjawab ‘Ya’.
“Daripada segi penaksiran, sekiranya jumlah itu (sumbangan) diterima oleh individu, tidak kira lah untuk apa, sewajarnya ia melaporkan kepada LHDN. Individu itu perlu melaporkannya dahulu kepada LHDN sebelum pihak LHDN tentukan sama ada ia dikenakan cukai ataupun tidak,” jawabnya.
Sementara itu, ketika pemeriksaan balas peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros yang mewakili Shahrir adakah saksi itu atau LHDN tidak menjalankan siasatan status kemasukan RM1 juta ke akaun Shahrir, saksi itu menjawab beliau tiada pengetahuan mengenai perkara itu selain tiada semakan dilakukan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung lagi esok.
Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE