HULU TERENGGANU – Pemain pelancongan terutama pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir, di sini rugi besar akibat tempias penyebaran berita palsu kononnya Empangan Kenyir bakal pecah yang tular di media sosial pada minggu lalu.
Mereka kerugian lebih puluhan ribu ringgit apabila segelintir pelanggan bertindak membatalkan tempahan masing-masing akibat panik dan mempercayai berita tidak benar itu.
Seorang pengusaha rumah bot, Zarina Omar berkata, setakat ini, dua tempahan yang diterima pada November ini telah dibatalkan pelanggan.
“Pembatalan tempahan itu melibatkan kumpulan pelancong dari Johor, Singapura dan Kedah antara 11 hingga 26 November depan.
“Walaupun sudah membayar deposit tetap dan saya telah berusaha menjelaskan situasi sebenar, mereka tetap berkeras untuk membatalkan tempahan kerana terpengaruh dengan berita palsu berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, di sini semalam.
Terdahulu, tersebar berita kononnya Empangan Kenyir dijangka pecah berikutan banjir besar yang diramal melanda Terengganu pada Monsun Timur Laut antara bulan depan hingga Mac tahun depan.
Musibah itu kononnya akan menyebabkan daerah ini, Hulu Terengganu, Marang dan Kuala Nerus ditenggelamkam air sehingga sedalam 16 meter.
Seorang lagi pengusaha rumah bot, Kamaruddin Razali, 50, juga kehilangan dua trip yang telah ditempah sepanjang bulan ini ekoran pelanggan terlalu percaya dengan berita palsu itu.
Beliau yang mengusahakan Persona Houseboat menyifatkan penyebaran berita palsu tentang risiko kemusnahan Empangan Kenyir sangat tidak bertanggungjawab.
“Berita palsu itu bukan sahaja menyebabkan kegemparan awam, malah menjejaskan sektor pelancongan di Tasik Kenyir ini.
“Periuk nasi kami yang baru hendak pulih daripada pandemik Covid-19 juga terganggu,” katanya.
Pengusaha Sri Gagau Kenyir Houseboat, Jali Abdullah, 63, pula bimbang kerisauan tidak berasas itu bakal berterusan sehingga musim tengkujuh jika pihak berkuasa tidak bertegas menanganinya.
“Biasanya kami menerima ramai pelancong dalam kalangan kaki pancing sepanjang musim tengkujuh.
“Sekiranya individu menularkan berita palsu itu terus dibiarkan lepas tanpa tindakan, saya bimbang masyarakat akan mempercayainya pula,” katanya. -KOSMO! ONLINE