fbpx

Kompaun RM511,800 kesalahan timbang, sukat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Azman Mohd. Yusof (tiga dari kanan) bersama Azman (tiga dari kiri) ketika melawat reruai alatan timbang dan sukat sempena Majlis Perasmian ASEAN (ACCSQ-WGLM) di Langkawi, hari ini.

LANGKAWI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan kompaun berjumlah RM511,800 bagi kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 sepanjang tahun ini hingga bulan lalu.

Pengarah Penguat Kuasanya, Azman Adam berkata, sebanyak 1,943 kertas siasatan dibuka selain menyita barangan bernilai RM11,410 sepanjang tempoh sama.

“Antara kesalahan biasa dikesan oleh pegawai semasa menjalankan tugas ialah penggunaan alat timbang yang telah luput tempoh yang mana ia adalah kesalahan serius.

“Kedua adalah mereka menggunakan alat timbang yang tidak tepat dan kesalahan ketiga yang besar kesannya kepada orang ramai dan industri ialah mereka mengubah suai alat-alat tersebut untuk kepentingan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perasmian ASEAN Consultative Commitee for Standards and Quality Working Group on Legal Metrology (ACCSQ-WGLM) di sini hari ini.

Katanya, pihaknya turut menjalankan penguatkuasaan menerusi kerjasama dengan agensi-agensi lain seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM).

“Langkah ini adalah bagi memastikan kesemua pihak seperti penjual, peniaga termasuk penanam tidak mengambil peluang dengan melanggar undang-undang ditetapkan dalam Akta Timbang dan Sukat 1972 ke atas mana-mana pihak yang lain,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua peniaga yang berniaga secara secara offline atau online hendaklah memiliki lesen menjual alat timbang dan sukat dikeluarkan pihak kementerian.

“Sekiranya ada pihak yang berniaga atau menjual produk-produk tersebut secara dalam talian tanpa memiliki lesen sah, maka kita akan ambil tindakan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI