fbpx

Dahmer, realiti manusia paling keji, menggerunkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DAHMER tidak dikenali umum sewaktu zaman jenayahnya mula terbongkar, tetapi selepas siri Dahmer diterbitkan, namanya mula menjadi perhatian ramai.

HARUS diakui, naskhah filem dokumentari ‘dark story’ seperti kes pembunuhan tragis atau kisah pembunuh bersiri paling menakutkan sering menjadi tumpuan serta pilihan tontonan penonton.

Kali ini bukan dokumentari tetapi naskhah yang menjadi perhatian ramai ketika ini adalah sebuah siri berdasarkan kisah sebenar berjudul, Dahmer – Monster: The Jeffrey Dahmer Story.

Jijik, menakutkan dan sangat ngeri. Begitu terjemahan yang dapat dirasakan sepanjang tontonam naskhah yang dibikin berdasarkan kisah benar siri pembunuhan kejam Jeffrey Dahmer.

Dahmer didapati bersalah membunuh 17 mangsa dari 1978 hingga 1991 yang terdiri dari remaja dan lelaki. Dahmer juga seorang pengamal seks songsang.

Saat apartmen miliknya digeledah, polis menemukan pelbagai bukti meloyakan seperti kepala manusia di dalam tempat sejuk beku peti ais serta dua ketul jantung yang diisi dalam plastik berasingan.

Terdapat juga organ lain yang disimpan lelaki itu ketika polis membuat pemeriksaan, sekali gus membuktikan dia merupakan penjenayah kanibal. Tahap kengerian jenayah Dahmer diklasifikasikan sebagai kes berprofil tinggi.

Hampir keseluruhan jalan cerita yang dipaparkan dalam siri Dahmer menepati kejadian sebenar yang terjadi kepada Dahmer dan mangsa-mangsanya.

Antara paparan termasuklah zaman gelap Dahmer sewaktu masih kanak-kanak akibat berdepan konflik kedua-dua orang tuanya yang sering bergaduh serta ibunya berdepan depresi teruk.

Kehidupan trauma Dahmer seawal usia kecil akhirnya membina karakter abnormal apabila dia cenderung meminati bangkai haiwan. Akuinya bangkai menghadirkan rasa sangat teruja.

Senggang waktu berlalu, Dahmer membesar dengan konflik lain dalam hidup apabila menyedari dirinya menyukai kaum sejenis, termasuk tabiatnya yang gemar berfantasi membunuh lelaki remaja.

Akhirnya, bayangan fantasinya bertukar menjadi perbuatan yang sekali gus menjadikan dia seorang pembunuh bersiri.

Terlalu sama, kritikan

Sama seperti realiti, paparan dalam siri Dahmer tidak banyak yang diubah. Senang kata, dari awal cerita hingga penamat, hampir keseluruhan dipotret mengikut kisah sebenar.

Watak-watak yang terlibat juga sama iaitu pelaku utama, Dahmer lakonan Evan Peters, Lionel Dahmer (Richard Jenkins), Shari Dahmer (Molly Ringwald), Catherine Dahmer (Michael Learned) dan Glenda Cleveland (Niecy Nash).

Ketelitian produksi menggambarkan watak sebenar, ditatarias dengan gaya serupa, pemilihan pelakon seiras selayaknya dipuji.

Jika dibincangkan dari sudut pemilihan pelakon, itu sesuatu yang sangat bagus dalam menterjemahkan kisah sebenar. Bagaimanapun, pendapat berbeza mungkin sebaliknya bagi mereka yang berkaitan dengan Dahmer, ahli keluarga mangsa misalnya.

Kehadiran naskhah tersebut tentunya kembali merobek luka lama dan trauma yang masih bersarang dalam dada mereka.

Sukar melupakan apatah lagi menghapus memori hitam yang terjadi, ahli keluarga Dahmer sendiri sangat tidak bersetuju siri tersebut ditayangkan kepada umum.

Biarpun begitu, sejak ditayangkan menerusi Netflix pada 21 September lalu, siri Dahmer menjadi antara naskhah paling popular pilihan penonton.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI