LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp puas menyaksikan pasukannya berjaya menutup mulut pengkritik selepas merekodkan kemenangan 2-0 ke atas Rangers pada aksi Liga Juara-Juara di Anfield awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, skuad The Reds yang dilihat bergelut pada kempen musim ini tidak mempunyai masalah meraih tiga mata berharga hasil jaringan Trent Alexander-Arnold dan Mohamed Salah.
Menurut Klopp, pasukannya kembali berada di landasan kemenangan selepas mengikut arahan taktikal yang diterapkan selain memastikan benteng pertahanan kekal ampuh tanpa dibolosi pada aksi tersebut.
“Ini adalah perlawanan yang menarik untuk disaksikan kerana saya merangka strategi baharu bagi memantapkan benteng pertahanan pasukan selain jentera serangan juga berjaya melakukan banyak serangan, tetapi penjaga gol tampil cemerlang menyelamatkan keadaan.
“Selain itu, pujian wajar diberikan kepada pemain kerana berjaya memberikan komitmen seratus peratus di atas padang sekali gus melupakan kekecewaan lepas. Ini adalah peluang mereka untuk menutup kritikan dan keputusan yang diraih cukup positif,” katanya.
Sementara itu, Klopp turut memuji impak yang diberikan oleh penyerang muda pasukan, Darwin Nunez meskipun pemain antarabangsa Uruguay itu gagal menjaringkan gol pada aksi kali ini.
“Saya memberi peluang buat Nunez untuk diletakkan dalam kesebelasan utama dan dia telah menunjukkan beberapa gerakan menarik, tetapi tidak bernasib baik untuk mencetak nama sebagai penjaring.
“Namun, saya tidak terlalu risau kerana dia akan menjaringkan gol tidak lama lagi,” katanya. – AGENSI