KUALA LUMPUR – ‘Saya akan tunaikan (tanggungjawab) sehingga tidak diberikan tanggungjawab lagi dan masa tu kalau suruh saya pindah, saya pindah.’
Itu respon bersahaja Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein apabila ditanya media apakah terdapat arahan mengosongkan bilik di kementerian yang diterajuinya itu.
Ia berikutan terdapat dakwaan mengatakan terdapat pegawai kementerian yang sudah menerima arahan supaya mengosongkan bilik, sekaligus memberi isyarat kemungkinan besar pembubaran Parlimen dalam masa terdekat.
Arahan itu dikatakan dikeluarkan petang semalam dan semua yang terlibat sudah mula mengosongkan bilik pagi tadi.
Hishammuddin berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku jika pembubaran Parlimen diadakan dalam masa terdekat.
“Kementerian Pertahanan (Mindef) sentiasa bersiap siaga dalam apa juga kemungkinan. Kita dah lalui segala-galanya dan dah kalah dalam PRU lalu. Suka atau tidak ‘move on,” katanya ketika sidang media selepas lawatan kerja ke Kem Perdana Sungai Besi.
Tambahnya, perkara tersebut tidak menjadi isu kerana melunaskan janji kepada rakyat menerusi jawatan yang dipegang harus diutamakan.
“Lima tahun selepas kalah kita terajui kerajaan jadi isu-isu pindah barang atau tidak saya rasa bukan satu perkara baru bagi kita. Apa yang penting ialah jawatan yang kita pegang dan janji kita kepada rakyat.
“Yang penting juga rakyat boleh rasai apa yang telah dijanjikan bagi saya apa yang dijanjikan kepada anggota kepada warga Mindef Insya- Allah saya akan tunaikan sehingga tidak diberikan tangungjawab lagi. Masa tu suruh saya pindah, saya pindah,” katanya.- KOSMO! ONLINE