Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Jabatan Penjara memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) di penjara di seluruh negara bagi mengurangkan tahap kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan banduan serta mengurangkan kesesakan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, beberapa langkah drastik diambil termasuk menempatkan pesalah kes dadah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya di beberapa kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang diwartakan sebagai penjara sementara.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan yang dapat ditampung kem-kem PLKN berkenaan disasarkan seramai 2,300 hingga 2,800 orang banduan.
“Selain itu, kami juga akan melaksanakan Pelaksanaan Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL) ke atas sabitan hukuman bawah setahun yang baki hukumannya kurang dari tiga bulan.
“Mengikut statistik Jabatan Penjara, setakat 5 Oktober lalu, terdapat 11,018 banduan hukuman kurang dari 1 tahun dan baki hukumannya kurang dari tiga bulan layak untuk dipertimbangkan bagi PBSL.
“Semua banduan yang dibebaskan melalui PBSL wajib melepasi kriteria pemilihan ketat yang ditetapkan dan disahkan lulus saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, jabatan telah mengambil segala langkah mengikut SOP ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan untuk merawat, kuarantin dan mencegah penularan wabak tersebut dalam segala aspek penugasan kakitangan serta penjagaan banduan di seluruh negara.
Zulkifli berkata, beliau menyeru orang awam di luar penjara untuk bertenang kerana penularan Covid-19 dalam kalangan banduan dalam kawasan larangan penjara yang tertutup serta dikawal ketat. – K! ONLINE