fbpx

SPRM digesa siasat 250 penama terima dana 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shaikh Hussein menunjukkan laporan yang diserahkan kepada SPRM untuk diambil tindakan.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa untuk menyiasat 250 penama yang didakwa menerima dana berjumlah keseluruhan RM700 juta daripada 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Gesaan itu dibuat UMNO Pulau Pinang selepas mereka hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini bagi menyerahkan laporan berkaitan dakwaan itu.

Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Shaikh Hussein Mydin berkata, pihaknya mahu SPRM turut menyiasat penama berkenaan memandangkan ada sebahagian besar daripada mereka tidak disiasat.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan, ada juga antara penama itu tidak dikenakan apa-apa tindakan walaupun terdapat bukti jelas yang menunjukkan mereka menerima dana 1MDB.

“Saya gesa agar siasatan segera dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat campur tangan pihak berkepentingan dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Saya difahamkan, siasatan sudah dijalankan pada 2019 namun, tiada pihak yang didakwa dan ia satu tindakan berat sebelah dan tidak adil oleh pihak berkuasa ketika itu walaupun terdapat bukti jelas mereka telah menerima dana berkenaan,” katanya.

Katanya, pihaknya berharap SPRM dapat menjalankan siasatan bagi mendapatkan kembali wang dan aset yang telah diselewengkan serta membawa individu yang terbabit ke muka pengadilan.

Shaikh Hussein berkata, beliau juga mahu SPRM menyiasat sama ada wujud campur tangan politik dalam badan kehakiman menyebabkan individu yang disiasat tidak diambil tindakan.

“Saya mempunyai bukti bahawa dua buah yayasan di Pulau Pinang masing-masing menerima USD100 juta dan nilainya bukan sedikit jika dibandingkan pendakwaan dikenakan ke atas UMNO sebelum ini.

“Malah, terdapat juga senarai individu dan syarikat yang menerima dana itu antaranya berjumlah RM18 juta, RM17 juta, RM4 juta dan RM27 juta yang akan diserahkan sebagai bukti kepada SPRM untuk diambil tindakan,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan seramai 250 individu dan syarikat di Pulau Pinang menerima dana 1MDB melebihi RM700 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI