fbpx

JBPM terima lima jentera USAR bernilai RM7.5 juta tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOR HISHAM Mohamad (dua dari kiri) mengiringi ADUN Muadzam Shah, Ir. Razali Kassim (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada anggota terlibat dalam kursus Survival Storm pada majlis penutupan Kursus Survival Pasukan Khas STORM di perkarangan Majlis Bandaraya Kuantan di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Lima jentera Urban Search and Rescue (USAR) yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM7.5 juta dijangka diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bermula tahun hadapan.

Unit pertama bernilai RM1.5 juta dijangka diterima pada awal 2023 sebagai prototaip bagi tujuan melihat sama ada ianya bersesuaian digunakan oleh pasukan khas Special Tactical Operation Rescue of Malaysia (STORM) bagi bencana melibatkan kawasan perbandaran (urban disaster).

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan JBPM, Datuk TS Nor Hisham Mohamad berkata, unit seterusnya dijangka diterima pada tahun-tahun berikutnya sebelum pada 2025 fokus akan diberikan kepada latihan bagi menggunakan jentera berkenaan.

“Perolehan jentera terbabit bagi kegunaan pasukan STORM adalah sebagai salah satu usaha meningkatkan lagi respon yang lebih komprehensif sekiranya melibatkan insiden USAR.

“Keperluan untuk ada jentera khas sangat tinggi bagi melengkapkan operasi menangani bencana melibatkan perbandaran,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Penutupan Kursus Survival Pasukan Khas STORM di perkarangan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini, hari ini.

Tambahnya, jabatan juga membuat beberapa perolehan baharu serta penggantian peralatan bagi memperkasa aset dan logistik penyelamatan seperti alat perlindungan personal, peralatan pencahayaan dan bot penyelamat.

Sementara itu katanya, seramai 47 peserta daripada 459 anggota STORM terdiri daripada 42 pegawai lelaki dan lima pegawai wanita berjaya menamatkan Kursus Survival STORM, hari ini.

Beliau memberitahu kursus survival terbabit dijalankan selama dua minggu yang mana anggota didedahkan dengan modul ikhtiar hidup di hutan dan mempelajari modul ikhtiar hidup di paya.

Jelasnya antara objektif utama kursus itu adalah untuk melatih, menguji dan memberi pengalaman secara langsung kepada anggota bagi membiasakan diri terhadap persekitaran yang mencabar ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

“Selain itu kursus ini juga bertujuan meningkatkan jati diri serta ketahanan mental dan fizikal setiap anggota supaya mampu untuk berkerja di luar limitasi dan melebihi keupayaan anggota-anggota yang bertugas di balai,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI