SEREMBAN – Keputusan sama ada Negeri Sembilan akan turut membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan pembubaran Parlimen ataupun tidak sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat masih belum ditentukan.
Menteri Besar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau masih belum membuat keputusan mengenai perkara berkenaan namun akan berhubung dengan rakan sejawatnya di negeri-negeri PH yang lain mengenai isu yang sama.
“Saya boleh katakan bahawa kami bersedia daripada segi jentera pilihan raya untuk menghadapi pilihan raya (bagi peringkat) Parlimen. Namun bagi DUN, belum buat keputusan, (saya) akan dapatkan maklumat daripada sahabat-sahabat, di Selangor dan Pulau Pinang di samping melihat keputusan di negeri lain.
“Mungkin berasingan, sama dengan negeri PH yang lain, kami akan melihat keadaan masih ada masa lagi. Ada yang kata saya takut hilang jawatan (pilihan raya berasingan) tetapi sebenarnya kami memikikran musim hujan dan banjir.
“Sekarang ini, kalau sudah dibubarkan, kami terpaksa bekerja dan keadaan banjir nanti akan utamakan rakyat dan kedua barulah masa pilhan raya pastikan mereka keluar mengundi,” katanya.
Aminuddin berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Pengesahan Halal Malaysia dan Ramah Mesra Menteri Besar Bersama Usahawan Kotej Halal Negeri Sembilan di sini hari ini.
Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri itu akan merujuk kepada kepemimpinan pusat PH bagi memutuskan sama ada DUN Pulau Pinang akan dibubarkan serentak sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, semua keputusan akan tertakluk kepada tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 dijalankan.
Pas juga dikatakan akan mengadakan perbincangan semula dalam masa terdekat berhubung pembubaran DUN di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diterajuinya.
Sebelum ini, Aminuddin dilaporkan berkata, kerajaan PH Negeri Sembilan tidak bercadang untuk membubarkan DUN sebelum bulan Mac tahun depan sekiranya Parlimen dibubarkan dan PRU15 diadakan dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE