Oleh ASLIZA MUSA
TANJUNG MALIM – Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun maut setelah motosikal yang ditunggangnya melanggar belakang sebuah treler di Kilometer 104, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Slim River di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 4.15 petang di simpang Kampung Balun itu, mangsa, Muhd Fathi Shamuri yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di Hospital Slim River.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kejadian berlaku ketika treler dipandu lelaki berusia 58 tahun itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh.
Katanya, semasa tiba di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis skuter keluar dari simpang Kampung Balun dan terlanggar sisi belakang bahagian kanan kenderaan berat itu.
“Ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal menghala ke pekan Slim River. Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Slim River untuk rawatan kecemasan namun meninggal dunia sebaik sahaja tiba di sana.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-K! ONLINE