fbpx

Kerajaan agresif buat swab Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kerajaan kini sedang melaksanakan ujian saringan pengesanan jangkitan Covid-19 secara lebih agresif ke atas kontak rapat pesakit-pesa­kit Covid-19 yang telah dikenal pasti bagi membendung penularan virus berbahaya itu dalam masyarakat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) turut melipatgandakan usaha serta tindakan mengesan, mengasing dan mera­wat pesakit Covid-19 yang telah dijangkiti pandemik tersebut.

Beliau juga menjangkakan kes-kes Covid-19 akan meningkat dalam tempoh terdekat susulan saringan agresif yang dijalankan KKM termasuk di penjara dan pusat-pusat tahanan.

“Di Kedah, virus ini sebahagian besarnya merebak dalam kalangan tahanan penjara selain terdapat kluster baharu dalam komuniti sekali gus menjadikan bilangan mereka yang positif Covid-19 meningkat secara mendadak sejak beberapa minggu lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Khas Situasi Semasa Covid-19 menerusi siaran langsung FB Live di kediamannya semalam.

Muhyiddin kini menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari susulan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menghadiri

Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikannya pada Sabtu lalu positif Covid-19.
Muhyiddin berkata, setakat ini kerajaan tidak bercadang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau total lockdown di seluruh negara kerana akan meruntuhkan sistem sosial dan ekonomi negara.

Kerajaan hanya akan melaksanakan PKP Diperketatkan Secara Bersasar di kawasan yang dikenal pasti sebagai zon merah.

“Aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan lain yang tidak terjejas boleh diteruskan dengan stan­dard operasi prosedur lebih ketat dan penguatkuasaan undang-undang lebih tegas.

“Sebarang keputusan yang dibuat perlu mengambil kira kepentingan 15 juta rakyat yang keluar bekerja untuk kelangsungan hidup serta kestabilan ekonomi negara,” ujarnya.
Menurutnya, setakat ini kerajaan juga hanya memutuskan untuk menutup sekolah-sekolah di kawasan zon merah seperti di Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tawau, Lahad Datu, Kunak Dan Semporna, Sabah.

“Jika perlu (ditutup), keputusan mengenai penutupan sekolah di seluruh negara akan dibuat pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara mengenai pengurusan Covid-19,” ujarnya.

Muhyiddin juga memberi jaminan bahawa usaha untuk mengesan kontak rapat kepada kes-kes positif Covid-19 lebih mudah dilaksanakan ketika ini.

Ia berikutan kira-kira 17 juta penduduk Malaysia telah menggunakan aplikasi MySejahtera sebagai pembudayaan norma baharu dalam kehidupan mereka.

“Jika dikira jumlah pengguna aplikasi ini berserta tanggungan atau pasangan mereka, peratusan rakyat menggunakan aplikasi MySejahtera dianggarkan mele­bihi 60 peratus,” katanya.

Muhyiddin juga percaya ke­sia­p­­siagaan petugas barisan hadapan dan sistem kesihatan akan membolehkan negara memben­dung penularan Covid-19 tanpa perlu menutup sektor-sektor ekonomi seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Kita mempunyai ventilator, peralatan pelindungan diri dan ubat-ubatan mencukupi selain jumlah katil di hospital-hospital yang dikhususkan untuk merawat pesakit Covid-19 juga cukup dengan kapasiti penggunaan pada masa ini sekitar 29 peratus.

“Ini bermakna sistem kesihatan di negara kita lebih bersedia untuk menangani penularan Covid-19 dalam komuniti berbanding sebelum ini,” katanya.

Muhyiddin menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama memerangi Covid-19 kerana Malaysia sebelum ini pernah berjaya melandaikan lengkung jangkitan Covid-19.

“Saya yakin dan percaya kita akan dapat bersama-sama me­landaikannya sekali lagi,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI