Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
JOHOR BAHRU – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jiwa Prihatin mengambil inisiatif menyantuni empat buah sekolah di kawasan Bekok, Segamat dengan membekalkan kit Covid-19 hari ini.
Pengerusi Jiwa Prihatin, Tan Lek Khang berkata, empat sekolah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bekok, SK Kampung Kudong, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Bekok dan SJK Tamil Bekok.
Menurutnya, kit berkenaan melibatkan perkakas penjagaan diri seperti topeng muka dan cecair pembasmi kuman.
“Sumbangan ini merupakan inisiatif kami dalam usaha menyekat penularan Covid-19 khususnya dalam kalangan warga sekolah.
“Sumbangan ini juga diharap dapat meringankan beban pihak sekolah serta ibu bapa dalam memastikan tahap keselamatan dan kesihatan anak-anak mereka terjaga,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Lek Khang, walaupun usaha itu nampak kecil namun ia memainkan peranan besar kerana kebanyakan pelajar SK Bekok terdiri daripada keluarga golongan berpendapatan rendah (B40).
Sementara itu, Penolong Kanan 1 SK Seri Bekok, Nor Aishah Sakdan memberitahu, pihak sekolah amat berterima kasih dengan sumbangan yang diberi.
“Dengan sumbangan kit Covid-19 ini, keselamatan dan kesihatan anak murid ketika di sekolah lebih terjamin,” ujarnya.
Selain mengagihkan kit Covid-19 di empat sekolah berkenaan, badan kebajikan itu turut menyampaikan sumbangan wang tunai bagi kerja naik taraf surau dan membeli kelengkapan kepada SK Kampung Kudong.-K! ONLINE.